Presiden Rusia, Vladimir Putin, tiba di pangkalan tentera di Alaska pada hari Jumaat untuk menghadiri sidang kemuncak bersama rakan sejawatannya dari Amerika Syarikat, Donald Trump, bagi membincangkan konflik yang berterusan di Ukraine.
Pertemuan yang berlangsung di Pangkalan Bersama Elmendorf-Richardson di Anchorage ini diadakan dengan harapan dapat mencapai gencatan senjata dan mengakhiri perang berdarah.

Teori pelik yang tidak disahkan mengenai Presiden Rusia, Vladimir Putin, bukanlah sesuatu yang luar biasa, dan salah satu daripadanya yang melibatkan “najis” beliau, timbul semula.
Berdasarkan laporan, semasa sidang kemuncak di Alaska pada tahun 2025, pengawal peribadi Presiden Rusia, Vladimir Putin, didakwa dilihat membawa beg bimbit misteri yang kononnya mengandungi sisa buangan peribadi beliau.
Hal ini kerana beberapa laporan daripada media dipercayai pernah membangkitkan dakwaan bahawa pengawal peribadi Putin akan mengumpulkan najis dan air kencing beliau semasa beliau dalam perjalanan ke luar negara.

Tindakan aneh ini bertujuan untuk mengelakkan kuasa asing daripada mengumpul dan menganalisis najis beliau bagi mendapatkan petunjuk tentang keadaan kesihatannya.
Analisis sampel biologi seperti najis boleh mendedahkan maklumat sensitif, termasuk penyakit yang mungkin dihidapi atau jenis rawatan yang sedang dijalani.
Laporan yang pertama kali didedahkan oleh wartawan penyiasat, Regis Gente dan Mikhail Rubin dalam majalah Perancis, Paris Match, menyatakan bahawa amalan ini telah wujud sejak beberapa tahun lalu.
Perkara ini melibatkan anggota Perkhidmatan Perlindungan Persekutuan (FPS) Rusia yang bertanggungjawab mengumpul sisa buangan Putin, menyimpannya dalam beg khas, dan mengangkutnya kembali ke Rusia dalam beg bimbit yang selamat.
Pihak media, Farida Rustamova, juga pernah menyatakan bahawa presiden tersebut malah menggunakan tandas mudah alih semasa lawatan ke Vienna.
Beliau berkata bahawa sumber mendedahkan presiden telah mengamalkan amalan itu sejak beliau memulakan kepimpinannya pada tahun 1999.
Selama bertahun-tahun, persoalan mengenai kesihatan Putin telah menjadi perbincangan hangat, terutamanya selepas rakaman video tahun lalu menunjukkan kakinya tersentak-sentak semasa sidang media di Kazakhstan.
Berikutan kejadian tersebut, Dr. Bob Berookhim, dalam temu bual dengan The Express US, mencadangkan bahawa tingkah laku tersebut mungkin menunjukkan gangguan neurologi seperti penyakit Parkinson
Gejala awal penyakit Parkinson termasuk gegaran (tremor) pada tangan, kaki, atau bahagian lain badan, kekakuan otot, pergerakan yang perlahan, dan ketidakstabilan postur.
Meskipun pergerakan yang ditunjukkan oleh Putin tidak semestinya mengesahkan penyakit tersebut, ia menimbulkan spekulasi yang meluas tentang keadaan kesihatannya yang sebenar.
Namun, Kremlin berulang kali menafikan dakwaan tentang kesihatan Putin, teori konspirasi seperti ini terus timbul, terutamanya di tengah-tengah spekulasi berterusan mengenai keadaan fizikalnya.
Tindakan ini menggambarkan sejauh mana rejim Rusia bersedia untuk melindungi kerahsiaan dan maklumat peribadi pemimpin mereka demi keselamatan negara.