Semua bengkel kini perlu mempamerkan nama dan pensijilan mekanik yang berada di bawah tanggungan mereka atau kegagalan berbuat demikian bakal berhadapan dengan tindakan undang-undang, lapor The Star.

Menurut Ketua Pengarah Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Azman Adam, pengusaha bengkel telah diberi masa yang mencukupi untuk mematuhi ketetapan ini.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Tambahnya, penalti jika gagal mematuhi peraturan ini, di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599) ialah denda RM100,000 bagi syarikat dan denda RM50,000 bagi individu, atau penjara tiga tahun, jika sabit kesalahan.

“Buat masa ini, bengkel yang diperiksa oleh unit penguat kuasa kementerian akan dinasihatkan supaya mematuhi peraturan itu. Kami akan memantau perkara ini dari semasa ke semasa. Kegagalan mematuhi akan dikenakan penalti,” kata Azman.

Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Pendedahan Maklumat Bengkel) (Pindaan) 2022 telah diwartakan pada 22 Jun 2022, dengan penguatkuasaan ditetapkan bermula pada 1 Julai tahun yang sama.

Walau bagaimanapun, selepas beberapa siri penglibatan dengan pemain industri, ia telah ditangguhkan selama setahun kepada 1 Julai 2023 untuk membolehkan mereka lebih bersedia dengan perubahan ini.

Langkah itu dikatakan menggalakkan pemilik bengkel sama ada mengupah mekanik bertauliah atau membantu mekanik mereka mendapatkan kelayakan yang sewajarnya.

Pengguna juga akan mendapat manfaat dari segi ketelusan kerana mereka akan dapat memastikan perkhidmatan yang diperoleh daripada bengkel adalah selaras dengan harga.