Benjamin Netanyahu dilaporkan sedang mempercepatkan usaha normalisasi diplomatik dengan dua negara Islam utama, iaitu Arab Saudi dan Indonesia, dalam usaha meningkatkan sokongan menjelang pilihan raya Israel pada Jun 2026.
Sumber diplomatik yang dipetik dari i24 News menyifatkan peluang untuk mencapai persetujuan dengan Riyadh sebagai ‘munasabah’.
Walau bagaimanapun, perjanjian dengan Jakarta dinilai sukar dicapai. Meskipuan berdepan cabaran ini, Perdana Menteri Israel itu dikatakan tetap meletakkan harapan untuk memuktamadkan sekurang-kurangnya satu perjanjian normalisasi sebelum pengundian.
Memetik dari Harian Metro pula, langkah normalisasi itu dilihat oleh penganalisis sebagai strategi Netanyahu untuk memperbaiki reputasi antarabangsanya dan mempamerkan pencapaian dasar luar Israel menjelang pilihan raya.
Dua negara Islam yang disasarkan Israel untuk normalisasi, Arab Saudi dan Indonesia, mempunyai kepentingan strategik yang tinggi. Arab Saudi penting kerana statusnya sebagai penjaga dua kota suci dan kuasa ekonomi, manakala Indonesia menarik kerana populasi Muslim terbesar dan kedudukan geopolitiknya.
Namun, kedua-dua negara meletakkan syarat sama: normalisasi tidak akan berlaku tanpa penubuhan negara Palestin merdeka atau pengiktirafan penuh hak dan kedaulatan rakyat Palestin. Riyadh malah menegaskan pendirian itu ‘tidak boleh dirunding’.