Gara-gara gurauan bodoh di Instagram, seorang lelaki Singapura kini terpaksa membayar denda sebanyak S$3,500.
Beliau didapati bersalah kerana membuat hantaran yang mengancam untuk meletupkan pesawat, menyebabkan penerbangan itu terpaksa membatalkan pelepasan dan berpatah balik ke terminal Lapangan Terbang Changi.
Memetik Harian Metro, Azim Shah Abubakar Shah tertuduh yang berusia 22 tahun, menaiki penerbangan Etihad Airways EY499 menuju ke Abu Dhabi pada malam 14 Februari.

Ketika pesawat sedang bersiap sedia untuk berlepas, sekitar jam 6.55 petang, Azim Shah telah memuat naik hantaran di Instagram. Hantaran tersebut mengandungi kapsyen berbunyi, “Tiada siapa di sini tahu saya akan letupkan pesawat ini.”
Hantaran gurauan ugutan tersebut dikesan oleh pasukan penguat kuasa Meta kira-kira 25 minit kemudian. Mereka kemudian segera memaklumkan perkara itu kepada pihak polis sekitar jam 7.20 malam.
Susulan daripada makluman itu, pihak berkuasa kemudian mengesan dan menemui Azim Shah berada di dalam pesawat yang ketika itu masih berada di landasan.
Pesawat tersebut kemudiannya diarahkan untuk berpatah balik ke Terminal 2, sebelum Azim Shah dibawa keluar dan begnya diperiksa.
Azim Shah kemudiannya ditahan pada tengah malam hari yang sama, meskipun beliau mengaku hantaran berunsur ancaman itu sekadar gurauan. Kes tersebut dibicarakan di Mahkamah Singapura pada 6 Oktober, di mana Azim Shah mengaku bersalah atas pertuduhan membuat komunikasi ancaman yang boleh menimbulkan kegusaran awam.
Tindakan beliau ini mengakibatkan penerbangan terbabit tertangguh selama lebih dua jam, selain memaksa Etihad Airways membayar caj kelewatan sebanyak S$1,750 (kira-kira RM6,100) kepada pihak lapangan terbang.
Semasa perbicaraan, pihak pendakwaan memohon denda S$4,000, dengan alasan hukuman yang dikenakan perlu mencerminkan kos dan sumber yang terbabit dalam insiden itu.
Bagaimanapun, peguam bela Azim Shah, Mohammad Shafiq, memohon denda yang lebih rendah iaitu S$1,000, berhujah bahawa hantaran tersebut hanyalah gurauan peribadi yang dimuat naik dalam Instagram Story dan hanya dapat dilihat oleh 16 orang rakannya.
Setelah menimbangkan hujah kedua-dua pihak, Mahkamah memutuskan untuk menjatuhkan hukuman denda S$3,500 (kira-kira RM12,215), yang Azim Shah diwajibkan untuk membayarnya sepenuhnya.