Bagi peminat tegar jentera Jerman, BMW bukan sekadar kenderaan, ia adalah simbol gaya hidup dan prestasi. Namun, berita terbaharu dari Munich ini mungkin membuatkan ramai pemiliknya sedikit tidak senang duduk.
BMW secara rasmi mengumumkan langkah memanggil balik kenderaan yang melibatkan 16 model berbeza yang dikeluarkan antara Julai 2020 hingga Julai 2022.
Keputusan ini dibuat selepas syarikat mengenal pasti masalah pada komponen elektromagnet pemula enjin yang dikesan mengalami kehausan luar biasa.
Isu teknikal ini dikhuatiri boleh menyebabkan litar pintas yang mengakibatkan pemanasan melampau pada bahagian pemula enjin.
Dalam senario yang paling buruk, kegagalan komponen tersebut berisiko mencetuskan kebakaran kenderaan walaupun ketika ia sedang dipandu.
Sebagai langkah pencegahan awal, BMW menasihatkan para pemilik agar tidak membiarkan enjin kenderaan hidup tanpa pengawasan selepas dihidupkan, terutamanya apabila menggunakan fungsi penghidup enjin jarak jauh.
Pihak BMW akan menghubungi pemilik kenderaan yang terjejas melalui surat rasmi bagi urusan penggantian komponen yang rosak tersebut.
Model yang terjejas:-
Kalau anda pemilik model-model di bawah, mungkin sudah tiba masanya untuk lebih peka dengan surat daripada BMW:
Siri Sedan & Coupe: Siri 2 Coupe, Siri 3, Siri 4, Siri 5, Siri 6 Gran Turismo, dan Siri 7.
Siri SUV (X) & Roadster: Model X4, X5, X6, dan juga Z4.
Tindakan terbaharu ini merupakan kesinambungan daripada langkah panggil balik yang dilaksanakan pada September lalu.
Sebelum ini, BMW telah menarik balik lebih 130,000 kenderaan di Jerman dan 200,000 unit di Amerika Syarikat, selain beberapa pasaran lain, berikutan risiko kebakaran berkaitan komponen pemula enjin yang serupa.
Walaupun isu kali ini melibatkan ratusan ribu unit, jurucakap BMW menegaskan bahawa penarikan semula (recall) terbaharu ini tidak akan menjejaskan pendapatan syarikat.
Nampaknya, BMW sudah lebih bersedia dan yakin isu ini dapat diselesaikan tanpa mengganggu prestasi kewangan mereka.