1. Pegawai Imigresen dihukum gantung sampai mati

Dua pegawai Jabatan Imigresen negeri ini dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi, hari ini atas tuduhan membunuh warga Bangladesh pada Oktober 2014.

Kedua-dua tertuduh didapati bersalah menyebabkan kematian pendatang asing tanpa izin (PATI), Abu Bakar Siddiqe di bilik pantri Jabatan Imigresen, antara 10 hingga 11 malam pada 29 Oktober 2014. Kes didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Sumber laporan

2. Kena penjara sebab curi biskut

Nasib malang seorang wanita akibat perbuatan jenayah mencuri tuala, pewangi rumah dan makanan ringan di sebuah pasar raya, bulan lepas dikenakan hukuman penjara selama 2 minggu dan bayar denda RM400.

Tertuduh dijatuhi hukuman selepas mengaku bersalah mencuri sehelai tuala, seunit soket elektrik, satu pewangi rumah, sebungkus biskut, sebotol Nescafe dan dua bungkus coklat yang keseluruhannya berjumlah RM157.60.

Sumber laporan

3. Guru cederakan murid tahun 3 didakwa

Petaling Jaya: Seorang guru Matematik didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan mencederakan seorang murid perempuan Tahun Tiga di sebuah sekolah kebangsaan di sini, tahun lalu.

Wanita berusia 27 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Datin Fadzlin Suraya Mohd Suah. Tertuduh yang telah berkahwin dan mempunyai seorang anak berusia tujuh bulan didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap murid perempuan yang ketika itu berusia sembilan tahun di sebuah sekolah, pada 8.10 pagi, 16 Jun 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

– Bernama

4. Penjara 8 bulan sebab cakap ‘ada bom ada bom’

Seorang buruh kelapa sawit dihukum penjara selama lapan bulan oleh Mahkamah Majistret Batu Gajah sebentar tadi selepas mengaku bersalah melakukan khianat awam dengan membuat ancaman bom dalam sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat Bota Kiri dekat sini Sabtu lalu.

Majistret Mohd. Fitri Sadaruddin mememerintahkan hukuman penjara terhadap tertuduh, Faizal Yeop Idris, 30, berkuatkuasa mulai tarikh dia ditangkap iaitu pada 25 Februari lalu Mengikut pertuduhan, Faizal didakwa telah mengugut sehingga mendatangkan khianat dengan kata-kata ugutan ‘ada bom ada bom’ ditempat awam.

Perbuatan tersebut dilakukan di lampu isyarat simpang empat Bota Kiri, Bota pada pukul 11.15 pagi, Sabtu lalu. Tertuduh didakwa dibawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sumber laporan

5. Rakyat Korea Utara dikenakan visa

Kementerian Dalam Ne­geri (KDN) akan menguatkuasakan penggunaan visa terhadap rakyat Korea Utara yang mahu memasuki Malaysia atas faktor keselamatan bermula Isnin ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, dalam soal keselamatan, kerajaan berpendirian rakyat dan negara ini tidak boleh diletakkan dalam keadaan berbahaya, jus­teru langkah tegas perlu diambil segera.

“Kerajaan bertindak tegas, pendirian kita tegas dan kita mem­beri jaminan bahawa rakyat negara ini berada dalam keadaan selamat,” katanya.

Sumber laporan