1. Kerajaan Bercadang wujudkan desa digital bantu usahawan luar bandar

Kerajaan bercadang mewujudkan Desa Digital bagi meningkatkan tahap capaian internet di kawasan luar bandar. Menurut Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata langkah itu akan dapat membantu usahawan luar bandar meluaskan perniagaan dalam talian mereka.

“Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sedang berbincang dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia untuk kita lancarkan bersama nanti Desa Digital bertujuan meningkatkan capaian internet di kawasan tersebut,” katanya dalam satu sidang media Bicara Komuniti TN50.

Sumber laporan

2. Wabak selesema burung H5N1, Kelantan bebas dari jangkitan

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengesahkan tiada jangkitan baharu wabak selesema burung H5N1 di Kelantan setakat hari ini. Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata jika ia berterusan, pihaknya akan mengumumkan Kelantan bebas wabak H5N1 dalam masa terdekat.

Sumber laporan

3. Task Force pantau MRT elak ancaman pengganas

Kerajaan melalui pasukan petugas khas akan memantau keselamatan di semua stesen MRT bagi memastikannya bebas daripada ancaman pengganas. Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz berkata, beliau juga yakin Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan berkongsi maklumat yang sepatutnya bagi mengatasi sebarang  potensi ancaman.

“Kita ada langkah keselamatan yang diambil secara bersepadu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan task force ini untuk adakan rondaan secara berkala supaya kejadian sebegini (ancaman) tidak berlaku,” katanya.

Sumber laporan

4. Kerajaan umum harga terkini petrol dan diesel pada setiap rabu

Kerajaan akan mengumumkan pe­netapan harga petrol dan diesel secara mingguan pada setiap Rabu bermula pukul 12.01 ­te­ngah malam bagi menggantikan mekanisme pengumuman secara bulanan seperti sebelum ini.Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pelaksanaan kaedah tersebut akan dilakukan buat pertama kali Rabu ini dan harga tersebut berkuat kuasa keesokannya, 30 Mac.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pengusaha dan syarikat minyak supaya mematuhi penetapan harga baharu berkenaan dengan tindakan tegas akan diambil jika terdapat pihak yang menjual petrol dan diesel pada harga selain daripada yang ditetapkan kerajaan.

Sumber laporan

5. Malaysia sumbang RM4.4 juta batuan kemanusiaan di Iraq dan Syria

Malaysia menyumbang AS$1 juta (RM4.4 juta) untuk bantuan kemanusiaan di kawasan yang baru dibebaskan di Iraq dan Syria. Wisma Putra dalam kenyataannya hari ini berkata, pengumuman itu dibuat Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dalam ucapannya pada Mesyuarat Menteri Luar Gabungan Global menentang Da’esh di Washington pada Rabu.

Katanya, Malaysia menyokong penuh seruan Gabungan Global untuk dana segera disalurkan di kawasan berkenaan yang sebelum ini dikuasai Da’esh.

“Sukacitanya saya mengumumkan sumbangan Malaysia sebanyak AS$1 juta (RM4.4 juta) kepada tabung itu yang diperuntukkan bagi bantuan kemanusiaan untuk kawasan berkenaan.

“Saya mahu menegaskan sokongan tidak berbelah bahagi dan komitmen Malaysia kepada Gabungan Global dalam usahanya mengurangkan dan akhirnya menewaskan Daesh,” katanya

Bernama