Berjaya Food Bhd, yang merupakan pengendali jenama Starbucks, Kenny Rogers Roasters, dan Paris Baguette di Malaysia serta Filipina, mencatatkan kerugian bersih RM33.68 juta bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 30 September 2024 (1Q25).
Ini menandakan empat suku berturut-turut syarikat ini mengalami kerugian, sekali gus mengundang persoalan besar di kalangan pelabur dan penggiat industri.
Menurut The Malaysian Reserve, kerugian ini jauh berbeza berbanding keuntungan bersih RM19.03 juta yang diperolehi pada suku yang sama tahun lalu.
Berjaya Food menyatakan bahawa boikot anti-Israel yang berlarutan memberi impak besar kepada operasi Starbucks di Malaysia, yang turut terpalit dengan kontroversi sentimen politik semasa.
Hasil pendapatan kumpulan ini juga menunjukkan penurunan yang drastik, lebih daripada separuh kepada RM124.19 juta berbanding RM278.53 juta pada tempoh yang sama tahun lalu.
Dalam laporan kepada Bursa Malaysia, Berjaya Food menyatakan bahawa syarikat sedang berhadapan dengan persekitaran makroekonomi yang mencabar, namun terdapat perkembangan positif dalam inisiatif strategik yang diambil – tanpa memberi butiran lanjut.
Untuk suku ini, Berjaya Food tidak mengumumkan sebarang dividen.
Saham syarikat turut mengalami kejatuhan sebanyak 6.8% kepada 41 sen, menjadikan nilai pasaran syarikat kini sekitar RM798.5 juta.
Walaupun berhadapan cabaran besar, Berjaya Food menyatakan pihaknya masih kekal optimis untuk melihat peningkatan operasi secara berperingkat dalam suku akan datang.
Namun, sama ada strategi ini mampu membantu syarikat bangkit dari situasi sukar ini masih menjadi tanda tanya.
Untuk rekod, pada Oktober lalu Starbucks merekodkan penurunan jualan global sebanyak 7.0 peratus bagi tempoh Julai hingga September.
Pendapatan sesaham juga turun 25 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, hanya mencatatkan 80 sen, manakala hasil bersih susut 3.0 peratus kepada AS$9.1 bilion.
Dalam usaha untuk membina semula syarikat, Ketua Pegawai Eksekutif Starbucks yang baharu, Brian Niccol, mengumumkan bahawa syarikat akan menggantung ramalan tahunan untuk tahun fiskal akan datang, dengan menyatakan bahawa Starbucks memerlukan “perubahan asas” untuk menghadapi keadaan pasaran yang semakin mencabar.
Menurut kenyataan akhbar Starbucks, salah satu punca utama kemerosotan prestasi ialah penurunan trafik pelanggan yang ketara.
Ini berpunca daripada persekitaran pengguna yang lebih berhati-hati dalam berbelanja.
Di peringkat antarabangsa, Starbucks juga tidak terlepas daripada gelombang bantahan dan kempen boikot yang dilancarkan oleh pengguna yang tidak berpuas hati dengan sokongan syarikat itu terhadap Israel.
Bantahan ini, terutamanya di rantau Timur Tengah, jelas memberi kesan kepada prestasi kewangan Starbucks.