Sejumlah negara yang menyertai sukan temasya Olimpik Paris 2024 sedia menawarkan sejumlah hadiah lumayan buat para atlet yang bertanding.

Menurut Harian Metro, pemain perseorangan ping pong wanita China, Chen Meng yang meraih pingat emas di Sukan Olimpik Paris sekaligus muncul atlet negara itu yang mendapat habuan paling lumayan termasuk bonus dan emas seberat enam kilogram.

Chen Meng bakal menerima bonus $525,000 (~RM2.32 juta) selepas meraih dua emas dalam acara perseorangan dan berpasukan.

Difahamkan majoriti bonus itu datang daripada taikun hartanah Guo Bin yang juga suami pemenang emas Olimpik Athens 2004 Wang Nan.

Guo dalam media sosialnya turut berjanji untuk menghadiahkan 6kg emas kepada juara iaitu Chen yang menewaskan rakan senegara Sun Yingsha pada final.

Chen, 30, memenangi emas perseorangan dan berpasukan wanita pada dua Olimpik terakhir.

Dia menjadi pilihan kedua di Paris 2024 tetapi beraksi cemerlang menewaskan pilihan pertama Sun. Chen turut menjuarai Piala Dunia Ping Pong 2020 dan menduduki tempat kedua sebanyak dua kali di Kejohanan Dunia 2019 dan 2023.

Guo Bin dan Wang Nan pasangan terkenal dalam sukan ping pong China dan mereka membina pusat latihan di Weihai City, Shandong Province. Ia sering digunakan pasukan ping pong negara itu.

China muncul pasukan pertama meraih semua lima emas acara ping pong termasuk perseorangan wanita, lelaki, beregu campuran, berpasukan lelaki dan wanita di Olimpik Paris.