Mechamato bukan nama asing lagi di negara Jepun apabila animasi tempatan ini sudah memenangi sejumlah anugerah dan menjadi tontonan pelbagai lapisan masyarakat di sana.
Terkini, filem animasi Malaysia, Mechamato Movie meraih pujian daripada rakyat Jepun apabila ramai memberikan maklum balas positif selepas menontonnya ketika tayangan perdana filem itu baru-baru ini.
Baca Juga:
- Peminat Mechamato Indonesia Terharu Dapat Lawat ‘Kota Hilir’ Sebenar
- Mechamato Animasi Malaysia Pertama Yang Akan Disiarkan Di Stesen TV Jepun
Menerusi laman Facebook Ketua Pegawai Eksekutif Monsta, Nizam Abd Razak, tayangan perdana Mechamato Movie versi Jepun itu diadakan di Chofu yang terkenal sebagai cinema town.
“Sejujurnya saya juga tidak menyangka versi Jepun rasanya sebegitu ‘umph’ sekali. Pelakon suara juga. Peminat anime pasti akan faham perasaan saya jika dapat melihat versi Jepun,” katanya.
Di samping itu, beliau turut berkongsi gambar bertemu dengan pelakon suara Mara (Emiri Kato), Pian (Ryoko Shiraishi) dan Ruka yang merupakan penyanyi bagi lagu tema filem animasi itu.
Difahamkan pelakon alih suara yang dipilih juga bukan “biasa-biasa” kerana salah seorang daripadanya merupakan pelakon suara kepada sebuah karakter di permainan video terkenal, Tekken dan seorang lagi pula sudah membintangi pelbagai anime terkenal di sana.
Dalam masa sama, beliau sedia memuat naik beberapa review dari penonton Tayangan Perdana Mechamato Movie baru-baru ini.
“Memandangkan ia adalah prekuel kepada siri TV, ia mudah untuk diterima walaupun menonton untuk kali pertama. Sebagai animasi robot untuk kanak-kanak, ia sangat menyeronokkan.
“Filem ini berjaya menarik minat kanak-kanak selama dua jam, panggung wayang juga dipenuhi oleh mereka,” ulas seorang penonton di Jepun.
“Filem ini menyasarkan kanak-kanak dan orang dewasa yang turut diselitkan elemen mendidik dengan mesej mendalam. Tak hairan ia dapat sambutan hebat di Malaysia. Tolong tonton filem ini,” komen seorang lagi penonton.
Sementara itu, rakyat Malaysia juga memenuhi ruangan komen hantaran itu dengan ucapan tahniah ke atas pencapaian tersebut.
Bahkan, ada sebahagian peminat tempatan turut meminta pihak Monsta untuk pertimbang menayang filem Mechamato versi Jepun di sini.
Untuk makluman, filem animasi nombor satu negara, Mechamato Movie melakar sejarah sebagai filem animasi tempatan pertama menembusi layar perak Jepun dan akan mula ditayangkan di lebih 30 pawagam di negara itu mulai 19 Jan ini.