Bermula dengan membaiki pelbagai Recreational Vehicle (RV) pada 4 tahun lalu, lelaki ini tidak menyangka ‘tindakan beraninya’ itu telah menjadi titik tolak buatnya untuk menubuhkan satu perniagaan yang dapat memenuhi permintaan industri tersebut.

Shamsul Rosli merupakan pengasas Camperv M dan terletak di Seremban, Negeri Sembilan. Di mana kilangnya itu menyediakan kepakaran dan khidmat profesional untuk membaik pulih, mereka cipta, mengubah suai pelbagai model kenderaan RV seperti karavan, campervan dan motorhome yang diimport dari luar negara.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Memetik temu bualnya bersama Bernama baru-baru ini, Shamsul yang juga bekas jurutera marin berkata beliau pergi ke United Kingdom (UK) semata-mata untuk membeli dan mempelajari selok-belok bagi memiliki karavan diimpikan sebelum membuka bengkelnya sendiri.

Sumber Gambar: Harian Metro

“Di UK saya beli van Mercedes-Benz Sprinter WB yang kosong untuk diubah suai dijadikan karavan. Pada masa sama, saya melawat ke beberapa kilang bagi mempelajari kaedah pembuatan karavan dengan mereka yang pakar di sana.

“Selepas membawanya pulang ke Malaysia, terdetik di fikiran merasakan ada perkara lagi yang masih tidak memuaskan dengan karavan saya beli seperti di dalam kabinnya tiada ruang solat walaupun dilengkapi katil, dapur dan tandas.

“Jadi bermulalah idea untuk saya ‘DIY’ karavan saya. Secara tak sengaja, inovasi saya yang lebih mesra Muslim itu mendapat perhatian khususnya peminat RV tempatan, apatah lagi ketika itu sukar dan tiada individu yang mahir membaik pulih kenderaan jenis ini,” katanya yang turut dibantu empat petugas berkemahiran yang lain.

Sumber Gambar: Harian Metro

“Setakat ini, lebih 80 pelbagai jenis RV berjaya dibaik pulih, diubah suai mengikut cita rasa dan kehendak pemilik kenderaan,” katanya.

Tambah beliau lagi, kebanyakan peralatan RV seperti tandas, penyaman udara atas bumbung serta peralatan elektrik seperti ketuhar, peti ais dan seterika menggunakan elektrik 12 volt diimport dari luar negara.

Berkongsi mengenai campertruck yang kini menjadi pilihan berbanding dengan model kenderaan RV lain, Shamsul berkata, hanya tiga negara di dunia iaitu Australia, China dan Thailand menghasilkan RV jenis itu dan kini Malaysia mampu berbuat demikian hasil reka cipta anak tempatan.

Sumber Gambar: Bernama

Campertruck makin mendapat tempat kerana pemanduannya auto, lebih praktikal di semua jenis permukaan jalan dan penyelenggaraannya lebih mudah,” katanya yang sudah menghasilkan 10 campertruck menggunakan aluminium sebagai bahan utama pembuatan struktur kabin.

Dalam pada itu, Naib Presiden Persatuan Campervan dan Motorhome Malaysia, Emirol Rashid berkata, industri RV makin popular kerana ia antara gaya hidup kepada mereka yang gemar mengembara dan berkelah bersama keluarga.

Beliau berkata, ketika ini ada lebih 2,000 pemilik RV di seluruh negara dengan kos bermula RM40,000 ke atas bergantung kepada bajet dan kemahuan sama ada ubah suai van kosong atau import dari luar negara yang baharu atau terpakai.

*Ikuti Facebook dan Instagram VOCKET CAR CLUB untuk ketahui perkembangan dan isu semasa automotif dari dalam dan luar negara.