Sebut sahaja nama Farm Fresh, serta merta kita terbayangkan jenama tenusu berkualiti tinggi keluaran tempatan yang menjadi pilihan orang ramai.
Farm Fresh berjaya ‘menawan’ pelanggan dengan pelbagai jenis produk tenusu seperti air susu lembu asli serta berperisa, susu kambing, susu formula UHT dan pelbagai lagi.
Baca Juga:
- Sanggup Berhentikan Tenaga Mahir Dari Thailand, ‘Boss Susu’ Yakin Bakat Anak Tempatan
- Dari Malaysia Ke Australia, ‘Boss Susu’ Kongsi Kisah Ambil Alih Kilang Jem Terkenal
- Pernah Diperlekeh Naik Bas Jual Susu Segar, Jenama Farm Fresh Kini Raih Jualan Jutaan Ringgit Setahun
Baru-baru ini Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Farm Fresh Berhad, Azmi Zainal atau lebih dikenali sebagai ‘Boss Susu’ berkongsi satu hantaran di Facebook peribadinya bagaimana mereka memula menghasilkan yogurt sebagai salah satu produk mereka.
Menurutnya, sebelum mengakhiri mesyuarat bersama Giant pada tahun 2010, pihak peruncit terkemuka itu meminta beliau dan Loi Tuan Ee (pengasas Farm Fresh) hasilkan produk yogurt.
“Awak punya susu sedap dan awak bolehlah mula buat yogurt sebab pasaran yogurt ini sangat besar,” kata wakil Giant itu.
Selepas mendengar permintaan itu, tanpa mengambil masa panjang Azmi dan Loi untuk bersetuju. Kedua-duanya meminta Giant beri masa satu bulan untuk buat R&D yogurt pertama mereka.
Pada ketika itu, Farm Fresh cuma ada dua produk sahaja di pasaran.
“Selepas saja meeting saya dan Loi kelam-kabut turun ke tingkat jualan ibu pejabat Giant untuk cari yogurt, sebab apa? Sebab saya dan Loi tak pernah pun makan yogurt.
“Kami beli beberapa jenis yogurt bawa pulang untuk cuba. Muka saya berkerut-kerut menahan kemasan yogurt tersebut. Rasa yang saya tak pernah rasa,” kata Azmi.
Manakala Loi pula mula membuat beberapa call untuk mendapatkan bahan pembuatan dan pembungkusan.
Bagaimanapun, timbul pula satu masalah lain — tiada tempat pemeraman yogurt — serta tidak mempunyai masa dan ruang mencukupi.
“Akhirnya kami dapat satu idea, gunakan peti ais 3 pintu yang sudah rosak dekat pejabat kilang untuk dijadikan tempat pemeraman.
“Kami peram dalam peti ais rosak itu, letak mentol lampu sebagai alat pemanas. Kali pertama buat, terus jadi. Rasanya sedap bahkan lebih sedap daripada sample yang kami beli itu.
Menurut Loi rasa yogurt pertama mereka itu sedap kerana menggunakan susu segar yang mereka ada.
“Alhamdulilah jualan yogurt kami berkembang. Mula-mula buat yogurt asli saja dan kini kami sudah ada yogurt perasa buah-buahan dan yogurt Greek.
“Jualan yogurt pun sudah berjuta sebulan. Ramai yang suka sebab berkhasiat dan rasanya yang sedap. Kita (Farm Fresh) berada di tempat ke-dua dari segi saiz bahagian pasaran,” terang beliau lagi.
Azmi mengakhiri perkongsiannya dengan mengajak orang ramai untuk mengambil peluang yang ada dan tidak berputus asa buat sesuatu sehingga jadi.
“Dalam meniaga kita kena berani mencuba. Lagi satu apabila peluang datang, sambut dulu dan cuba sampai jadi.
“Nak mula tak semestinya perlu ada semua baru boleh jadi. Kalau perkara yang baik, Allah S.W.T akan bantu dan tunjukkan jalan,” kata ‘Boss Susu’ itu.
Menerusi laman web rasmi Farm Fresh, syarikat itu kini memiliki 16 jenis pilihan yogurt yang terdiri yogurt asli, yogurt Yarra asli, yogurt berperisa buah-buahan dan yogurt Greek.