Jenama susu tempatan, Farm Fresh bukan sahaja menawarkan susu berkualiti dengan harga berpatutan, bahkan ia membantu ramai pihak berbisnes untuk mengubah hidup menjadi lebih baik.

Baru-baru ini pengarah Farm Fresh, Azmi Zainal atau lebih dikenali sebagai ‘Boss Susu’ telah memuat naik satu hantaran Facebook menceritakan kisahnya membantu kawan berbangsa Cina.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Hantaran itu turut mempunyai sekeping gambar sebuah keluarga berbangsa Cina bersama beliau. Menurut Azmi, wanita berbaju warna pink itu merupakan sahabat lama, dikenali sebagai Sofea.

“Saya kenal Sofea dari dia baru lepas graduasi dan jadi pembeli dekat HQ Jusco di Maluri pada tahun 2010. Walaupun junior, Sofea banyak membantu saya di situ.

“Selepas itu Sofea jaga kategori lain dan bertukar-tukar jabatan. Tapi kami masih juga selalu berhubung dan saling membantu. Beberapa tahun kemudian Sofea berhenti dari Jusco dan bekerja di tempat lain. Sesekali dia akan call saya juga untuk tanya pendapat,” terang beliau.

Pada tahun 2020, sewaktu pandemik COVID-19 melanda dunia, Sofea ada menghubungi Azmi untuk berjumpa dan meminta bantuan.

Menurut Sofea, dirinya telah diberhentikan kerja dan bisnes car wash suaminya (Ah Siang) tidak boleh beroperasi kerana lock down. Sofea bertanya kepada Azmi sekiranya terdapat kerja atau bisnes yang dia boleh buat bersama Farm Fresh.

“Apa kata awak jadi stokis saya, jual Farm Fresh. Lagi pun channel dealer ini tak ada chinese lagi. Awak dua orang balik dan cari kedai dan tanya berapa harga sewa,” kata Azmi kepada Sofea dan suaminya.

Walaupun Sofea terdiam dan seperti putus harapan kerana kesemua simpanan sudah digunakan sebagai modal sewaktu suaminya buka bisnes, wanita itu tetap menghubungi Azmi semula pada keesokkan harinya.

Sofea memberitahu dia sudah menjumpai kedai dan memerlukan modal kira-kira RM18,000. Bagaimanapun, tiada ahli keluarga dan kawan-kawan yang sudi meminjamkan duit mereka terlebih dahulu.

“Awak bagi nombor akaun. Saya transfer sekejap lagi,” begitulah permulaan bisnes Sofea dan suaminya dengan Farm Fresh ujar Azmi.

Setahun kemudian, bisnes Sofea dan suaminya berkembang maju. Pinjaman modal pun sudah dilunaskan.

Mereka berdua mahu membuat pinjaman untuk mengembangkan kedai jadi warehouse, bagaimanapun pihak bank tidak melayan kerana syarikat masih baru. Sofea pun berjumpa dengan Azmi.

“Bank ini bukan tempat kita minta tolong. Dia bukan pandang orang kecil-kecil ini. Bila syarikat awak dah besar nanti, barulah dia sibuk terhegeh-hegeh suruh awak pula pinjam daripada mereka”, kata Azmi kepada Sofea dan meminjamkannya RM40,000 untuk mengembangkan bisnes.

Selepas dua tahun, suami Sofea berjumpa dengan Azmi untuk membayar semula pinjaman tersebut.

Menurut Azmi, kini perniagaan Sofea dan suaminya sudah mencapai RM25 juta setahun.

“Saya happy tengok mereka berdua sudah stabil dan keluar dari kesusahan. Bagi saya bisnes bukan setakat untung atau rugi, dalam bisnes pun kena ada persahabatan.

“Kerjasama Sofea semasa dia kerja di Jusco, walaupun sekejap amat bermakna bagi saya dan Farm Fresh.

“Selamat Tahun Baru Cina kepada Sofea dan Ah Siang serta semua pelanggan dan warga Malaysia yang berbangsa Cina,” kata Azmi.