Dilabel sebagai antara pemain berbakat besar yang mampu untuk menyinar akhirnya Giovani Dos Santos terpaksa melupakan kancah bola sepak profesional seawal usia 32 tahun.
Mencipta nama bersama Akademi La Masia dan kemudiannya dinaikkan pangkat ke skuad utama Barcelona, langit nyata tidak selalunya cerah buat karier pemain Monterrey, Mexico itu.
Baca Juga:
- Ini 10 Garis Panduan Diterapkan Hansi Flick Buat Kem Barcelona
- Ini Sebab Akhirnya Barcelona Berjaya Daftarkan Dani Olmo
- Thiago Sertai Barisan Kejurulatihan Barcelona
Selepas meninggalkan Nou Camp, Dos Santos berkelana ke beberapa negara yang terakhirnya kembali ke negara kelahirannya, namun pada 2021, beliau dilepaskan oleh kelab gergasi Mexico iaitu Club America.
Keadaan yang memaksa beliau untuk mengumumkan persaraan dan beralih ke cabang lain dalam kehidupannya.
Mungkin daripada aspek bola sepak, ia kelihatan seperti amat merugikan buat Giovani Dos Santos. Tetapi, apa yang sedang dinikmatinya pada ketika ini lebih memeranjatkan.
‘Beraksi’ di bidang perniagaan
Selepas mengucapkan selamat tinggal kepada dunia bola sepak profesional, Giovani memutuskan untuk menceburi dunia perniagaan dengan melabur dalam sektor-sektor yang memberikan pulangan tinggi.
Menurut sumber laporan Bein Sports, beliau kini merupakan rakan kongsi di Procura México, sebuah syarikat kimia yang bekerjasama rapat dengan Petróleos Mexicanos (PEMEX).
Pelaburan ini menjana pendapatan tahunan dianggarkan antara $400,000 hingga $500,000, mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai seorang usahawan berjaya dalam bidang yang sangat berbeza daripada dunia sukan tempat beliau bersinar sebagai atlet.
Selain itu, Giovani Dos Santos telah mempelbagaikan perniagaannya dengan terlibat dalam membeli dan menjual kereta mewah di Mexico, sebuah pasaran yang sedang berkembang pesat pada ketika ini.
Model perniagaan ini bukan sahaja membolehkan beliau mengekalkan kekayaan yang besar, tetapi juga mencerminkan kebolehannya untuk menyesuaikan diri dalam menceburi bidang lain selepas bersara.