Satu insiden tragis berlaku di Ban Tab Tao, Thailand apabila seorang lelaki berusia 53 tahun, dikenali sebagai Watcharin, didakwa memukul isterinya hingga mati dengan kayu hanya kerana tidak mandi.
Kejadian ini mengejutkan penduduk setempat dan menimbulkan persoalan mengenai isu keganasan rumah tangga.
Menurut laporan daripada The Thaiger, pada mulanya, Watcharin memberitahu pihak polis bahawa isterinya tergelincir dan jatuh di bilik mandi.
Namun, selepas siasatan lanjut dijalankan, Watcharin akhirnya mengaku telah bertindak membunuh isterinya dengan memukul kepala mangsa menggunakan kayu kerana isterinya enggan mandi.
Beliau juga mengaku tidak menyedari bahawa isterinya telah meninggal dunia selepas dipukul.
Semasa menyedari isterinya tidak bergerak, Watcharin telah membawa mangsa ke bilik mandi untuk memandikannya.
Apabila melihat keadaan isterinya tidak berubah, beliau segera meminta bantuan daripada jiran-jiran dan memberitahu mereka cerita yang sama – bahawa isterinya tergelincir dan jatuh.
Menurut pihak polis, jiran-jiran mendedahkan bahawa pasangan ini sering dilihat minum bersama dan sering bertengkar apabila mereka mabuk.
Ini menimbulkan spekulasi bahawa insiden ini mungkin berlaku dalam keadaan mabuk.
Pasukan perubatan mengesahkan bahawa kematian mangsa disebabkan oleh trauma pada bahagian kepala – kecederaan teruk yang disebabkan oleh hentakan kuat dengan objek tumpul.
Menurut laporan, pihak polis telah menahan Watcharin dan masih mengumpul bukti sebelum mengambil tindakan undang-undang yang seterusnya.