Seorang lelaki bergaduh dengan penjaga tol di Plaza Tol Perling pada Ahad lalu selepas tidak berpuas hati kerana ‘Touch n Go’ (TnG) dalam MyKad tidak dapat digunakan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh mengesahkan menerima laporan polis daripada kedua-dua lelaki warga tempatan berusia 30-an itu pada 10.11 pagi semalam, lapor Harian Metro.

Baca Juga:

“Siasatan polis mendapati kejadian itu berlaku pada 29 September sekitar jam 1.15 petang di pondok Plaza Tol Perling menghala ke Iskandar Puteri.

“Seorang lelaki tempatan berumur 35 tahun telah mendekati penjaga tol kerana tidak puas hati apabila TnG melalui Mykad tidak dapat digunakan, walaupun terdapat baki wang yang mencukupi untuk melepasi palang tol.

“Perselisihan faham berlaku antara penjaga tol dan lelaki berkenaan sehingga membawa kepada pergelutan antara mereka menyebabkan kedua-duanya cedera ringan di badan dan muka,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan iaitu melakukan gaduh gempar yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh boleh sampai enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau keduanya.

Sumber