Semalam di media sosial heboh mengenai sebuah video didapati sekumpulan lelaki sedang berzikir diluar kebiasaan di kubur seorang tokoh ulama tersohor nusantara iaitu Tok Kenali. Video tersebut telah mendapat perhatian netizen sehingga menimbulkan spekulasi bahawa ia adalah diluar kebiasaan nilai-nilai Islam.

Menurut laporan Sinar Harian, Video ini telahpun sampai ke pengetahuan salah seorang ahli keluarga Tok Kenali iaitu cicitnya, Muhammad Hafiz Hukmi Wardi yang mengeluarkan kenyataan bahawa apa yang dilakukan oleh sekumpulan lelaki tersebut bukanlah ajaran Tok Kenali dan tiada kaitan dengan Pondok Tok Kenali termasuklah kerajaan negeri Kelantan.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

“Saya mendapat maklum daripada orang yang merakam video itu mengatakan dia tidak mengetahui kumpulan itu datang dari mana. Cuma kalau tengok van…katanya van itu plat pendaftaran dari Thailand…jadi wallahualam daripada mana (datang dari tempat mana). Kubur Tok Kenali ni, dia sentiasa terbuka untuk siapa-siapa sahaja… 24 jam sentiasa terbuka.

“Tengah malam pun ada yang datang, jadi muslimin dan muslimat segala amalan yang dibuat dalam video tadi tidak ada kena mengena langsung dengan ajaran Tok Kenali, dengan pondok Tok Kenali pun tak ada, dengan kerajaan negeri pun tak ada,” katanya menerusi satu hantaran video penjelasan yang dimuat naik menerusi aplikasi TikTok pada Selasa.

Dalam kenyataannya, Muhammad Hafiz turut meminta menasihati orang ramai yang mahu berkunjung ke kubur ulama terkenal itu supaya menjaga adab, akhlak dan tidak berlebih-lebihan ketika berada di kawasan tersebut.

“Sebab ini akan menjadi fitnah kepada masyarakat kita sekarang. Jadi kalu boleh jaga khususnya orang perempuan minta tolong jangan masuk dalam pagar. Orang lelaki pun jangan buat perbuatan ataupun amalan-amalan yang khilafiah, amalan-amalan yang diluar pada uruf takut ia menjadi fitnah pada masyarakat,” katanya.