“Sekarang ini, terlalu banyak makanan sedap. Tetapi terlalu kurang yang sedap dan selamat.”

Satu ayat, membuat perhatian saya tertancap kepada lelaki di depan mata saya ini.

HYPE
Uban Hilang, Keyakinan Kembali! Alpecin Grey Attack Muncul Sebagai Hero Rambut Anda
Baca lagi →

Ayatnya ringkas, tetapi penuh makna.

Sejujurnya, sebelum bertemu beliau, saya pun kurang pasti bagaimana aspek ‘bersih’ boleh menjadi satu bahan bualan menarik.

Sangkaan saya, satu-satunya kebaikan menjaga kebersihan adalah hanya melalui meningkatnya keuntungan.

Sehinggalah lelaki ini mendedahkan kebaikan-kebaikan lain yang tidak pernah saya ketahui.

1. Mengenali beliau

Feroz Zainal, founder L’Pizz Pizza.

Lelaki yang saya maksudkan adalah Mohd Feroz bin Zainal, seorang pengusaha trak makanan pizza dengan jenama L’Pizz Pizza.

Pada awal usia, Feroz bekerja sebagai seorang tukang masak.

Sebagai seorang chef, beliau mempunyai sedikit ilmu tentang kebersihan dan keselamatan makanan.

Beliau juga sudah mula berjinak-jinak berniaga ketika masih bekerja. Ketika itu lagi, pemuda ini sudah berkata kepada diri sendiri, “Jika aku buka perniagaan, aku mahu serius menjaga kebersihan.”

Pada tahun 2009, Feroz mula berniaga sepenuh masa.

Bermula di pasar malam, beliau kemudiannya berniaga menggunakan karavan.

Pada tahun 2014, Feroz mula mencari informasi tentang bagaimana hendak berniaga trak makanan. Maka, bermulalah sejarah usahawan muda ini.

2. Kenapa mahu bersih?

Trak makanan L’Pizz Pizza.

“Pada tahun 2014 saya mula mendapatkan informasi untuk membina trak makanan dengan cara yang betul,” kata Feroz.

“Saya suka bertanya. Saya bertanya kepada kementerian, JPJ dan bomba.”

“Bukan sekadar tentang keselamatan makanan, tentang bagaimana hendak menyimpan tong gas dan pemadam api juga kami tekankan.”

Saya bertanya, “Kenapa Tuan tekankan sangat kesemua aspek itu?”

“Apa yang membezakan kita dengan yang lain? Kebersihan,” jawabnya pendek.

“Kenapa kita masuk ke dalam restoran-restoran besar yang ada nama? Kebersihan,” katanya lagi.

“Apabila kami mahu sertai satu program bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), iaitu 1MMH (1 Malaysia Mobile Hawker), salah satu kriteria mereka adalah bersih.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui KPDNKK memperkenalkan kami kepada pengiktirafan BeSS (Bersih, Selamat dan Sihat).

3. Pengiktirafan BeSS

Bersama staf yang bertugas di MAHA 2016.

Pengiktirafan BeSS adalah satu inisiatif KKM kepada premis-premis makanan untuk penyediaan yang lebih bersih, selamat dan sihat kepada pelanggan.

“Kami diberi taklimat dan diajar cara yang betul dalam aspek penyediaan makanan.”

“Kami dibimbing secara percuma sehingga pandai.

Apa patut ada

“Sinki wajib ada. Jadi kami buat custom made, sesuai untuk trak.”

“Pili sinki mesti boleh dibuka dengan siku. Dapat kurangkan pendedahan kuman melalui tapak tangan.”

Chiller pun kena ada, untuk jaga suhu makanan pada tahap sepatutnya.”

“Ketika berniaga pasar malam dulu, saya gunakan ais sahaja. Tetapi kini saya dapat kekalkan suhu 0-4 darjah Celsius untuk ayam dan daging dalam chiller.”

Bantuan KKM

“KKM juga kirakan jumlah kalori dalam satu hidangan. Kalau hidangan melebihi 600 kalori, kami diberi nasihat bagaimana hendak kurangkan kalori. Semuanya diberi percuma.”

Pengiktirafan BeSS akan melalui usaha pemantauan yang ketat. Mereka yang berjaya, akan diberi sijil dan pelekat BeSS.

KKM mengawal selia premis-premis BeSS selama 3 tahun, dengan lawatan sekurang-kurangnya sekali setahun.

“Memang saya sarankan kawan-kawan untuk memohon, lebih mudah berniaga.”

Pada Mac 2016, sebanyak 10 buah trak makanan pelopor menerima pengiktirafan BeSS.

Tempoh

Saya bertanya, “Berapa lama hendak dapatkan sijil BeSS?”

Feroz menjawab, “Tidak lama. Pada bulan 1 saya mula belajar, bulan 3 sudah dapat. Ianya mengikut komitmen pengusaha.”

“Yang penting, tidak boleh lebih 6 bulan.”

4. Senang berniaga

Mendapat tapak di laluan utama MAHA 2016.

Menurut Feroz, pengikirafan BeSS buat beliau lebih mudah berniaga.

“Contohnya jualan mega di Johor. Kami ‘dipaksa’ hadir kerana kami adalah trak contoh.

MAHA 2016

Oleh kerana saya menemuramah Feroz ketika acara MAHA 2016 di MAEPS, Serdang, saya meminta beliau bercerita mengenai hal itu.

“Selalunya tapak jualan di ekspo-ekspo mahal. Oleh kerana kami masuk melalui agensi, harga tapak adalah lebih berpatutan.

“Kami dapat masuk MAHA dengan lebih mudah.

“Malah di MAHA, kami mendapat tapak di laluan orang ramai.

Lebih banyak peluang

Agensi-agensi kerajaan lain juga memberi perhatian lebih kepada trak-trak makanan yang mempunyai pengiktirafan BeSS.

Setakat ini, Feroz pernah dijemput oleh FAMA dan JKM. Beliau juga pernah dipanggil oleh pasaraya yang baru dibuka untuk menjual makanan.

Mendapat tapak utama

“Kami dijemput berniaga di Morib. Ketika itu ada 20 biji trak makanan. Kami dapat tapak di depan sekali, tapak nombor satu. Menteri naik dan masuk trak makanan kami.”

“Ketika di Selama, Perak, kami dapat tapak yang pertama juga.”

“Kami juga pernah berniaga di Kilang Bateri, Johor. Di sini, kami berniaga di dalam dewan.”

Dipanggil beri taklimat

Adakalanya, beliau dipanggil untuk memberi taklimat.

“Bukan setakat dipanggil, dibayar lagi,” katanya berseloroh.

5. Pengalaman di Genting

Staf bersama-sama pelekat BeSS di dinding.

Setiap tahun di Genting Highland, terdapat satu acara jualan 3 hari yang menjadi rebutan peniaga-peniaga.

Tidak kira sama ada syarikat besar mahupun perniagaan kecil dan sederhana, ramai berpusu-pusu untuk mendapatkan tapak jualan sempena acara ini.

Sewa tapak hanyalah sebanyak RM70. Jualan mampu mencecah 5 angka.

Tetapi syarat-syarat yang ketat menjadi faktor mengapa ramai tidak mendapat tapak di acara ini.

“Ada macam-macam syarat. Mereka mahukan suntikan anti kepialu (TY2) dan sijil pengendalian makanan.

“Mereka juga akan memeriksa menu, bukan boleh letak sesuka hati. Makanan hendaklah sihat.

“Pada hari acara, akan ada pegawai yang memeriksa.

“Apabila ada BeSS, kesemua syarat di atas telah dipenuhi.

Feroz berjaya mendapat tempat sempena acara di Genting Highland itu. Menariknya, mereka yang pernah mendapat tempat sempena acara ini, akan dijemput lagi pada tahun hadapan.

“Kalau dahulu restoran ada pengkelasan A, B, C, D.

“BeSS sebenarnya adalah pengkelasan A, ditambah dengan elemen sihat.

6. Francais

Kebersihan adalah kunci kejayaan Feroz.

Feroz bercita-cita supaya bisnesnya berkembang. Beliau sudah mendaftar dengan Persatuan Francais Malaysia (MFA) dan dijangka, proses pendaftaran selesai bulan ini.

“Kebersihan adalah faktor utama.

“Kita berkembang dan menjadi franchaisor, dengan menjadi bersih, barulah orang lebih yakin.

“BeSS adalah anugerah daripada KKM. Ianya adalah satu bukti sah bahawa kita benar-benar bersih.”

8. Bila flow betul, duit pun betul

Semuanya tersusun mengikut flow (aliran).

Menurut Feroz, KKM mengajar aspek penyediaan makanan sehinggalah makanan dihidang kepada pelanggan.

Bagaimana hendak menyimpan, bagaimana hendak mencairkan. Semua perkara diajar dengan teliti dan bersistematik.

“Bila flow betul, sistem persediaan betul, operasi teratur, duit masuk pun teratur,” kata Feroz.

Terlalu banyak benda sedap

“Dulu-dulu, orang kata kalau tak sedap jangan berniaga.

“Tetapi sekarang, terlalu banyak benda sedap.”

“Cuma, terlalu kurang benda yang sedap dan selamat (pada masa yang sama).

“Kita hendak lawan nama-nama besar memang kita tidak mampu.

“Tetapi dari bab kebersihan kita mampu. Jadi kita tackle dalam bab Bersih, Selamat dan Sihat.

“Ini adalah benda asas, tetapi ramai selalu lupa.

7. Pelanggan

Sedap Sampai Marah!

Apabila ditanya, adakah pelanggan semakin ramai selepas pengiktirafan BeSS, Feroz menjawab, “Dulu masa berniaga pasar malam kami belum pandai, orang marah, mengadu itu ini, antaranya sakit perut.”

“Sekarang pelanggan marah, barang habis, tak cukup.”

Saya tergelak kecil, teringat tagline L’Pizz Pizza iaitu ‘Sedap Sampai Marah!’.

“Sekarang sudah ada pelanggan panggil kami untuk parti dan kenduri kahwin.”

Kenduri kahwin

Tiba-tiba saya teringat lalu berkata, “Selalu juga saya sakit perut akibat makan di kenduri kahwin.”

Feroz berkata, “Katerer begini akan menghadapi masalah. Kerana tiada freezer dan chiller, menyebabkan pelanggan sakit perut.”

Tambahnya lagi katerer atau restoran pun boleh memohon pengiktirafan BeSS.

“Pelanggan sekarang lebih pandai. Pelanggan kini lebih prihatin hal makanan.”

“Pelanggan boleh Google atau WhatsApp maklumat. Kalau mereka sakit perut, mereka boleh viralkan.”

Mujurlah Feroz pernah diviralkan sebelum ini sebab sedap.

Pelanggan lebih yakin

“Saya tak mahu pelanggan ada masalah. Sakit perut. Kalau tiada sijil, bagaimana pelanggan mahu mengadu.

“Tetapi kami, pelanggan boleh cari dengan mudah. Pelanggan lebih yakin.

“Kalau ada aduan, kami ambil berat.

Sambil itu, Feroz nasihatkan peniaga agar mengubah mentaliti agar lebih menjaga kebersihan.

8. Pesanan

Feroz yang bercita-cita tinggi.

Sebagai mengakhiri perbualan, saya bertanya kepada Feroz, “Tuan ada apa-apa pesanan terakhir untuk pembaca?”

Beliau menjawab, “Bagi yang baru hendak berkecimpung dalam dunia trak makanan, dapatkan nasihat saya atau kawan-kawan lain yang sudah biasa membina trak. Selepas itu baru jumpa builder.”

Dapatkan sijil BeSS

Saya bertanya, “Bagaimana pula dengan sijil BeSS?”

“Ramai fikir susah untuk mendapatkan sijil BeSS. Saya sudah buat, ianya tidak sesusah mana.

“Senang nak mendapatkan sijil BeSS, kementerian hendak membantu.”

“Kalau mahu, pergi ke pejabat KKM terdekat, pergi tanya, bagaimana hendak buat. Mereka akan ajar.”

“Bukan kena keluar duit pun. Ianya percuma. Sudahlah percuma, kebaikan (selepas mendapatkan sijil) pun banyak.”

“BeSS ini disesuaikan untuk peniaga jalanan, jadi saya tidak takut.”

Feroz berkata lagi, “Saya dari Serendah, Ulu Selangor. Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di sana suka trak kami, tak bagi kami pergi ke tempat lain.”

“Apabila saya kata saya di MAHA, mereka bangga.

“Mereka bangga orang dari Ulu Selangor pun boleh ada di MAHA,” kata Feroz tersenyum, sambil menutup perbualan.

Maklumat lanjut

Untuk maklumat lanjut tentang pengiktirafan BeSS, anda boleh menghubungi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kesihatan Negeri berhampiran, atau layari laman web BKKM KKM dan laman Facebook BKKMHQ.

Untuk lebih mudah, anda boleh meneliti lampiran ini.

Ada BeSS, barulah best!