Sebuah pulau di Sabah, helikopter, kapal layar (yacht), serta deretan kereta mewah seperti Bentley dan Audi merupakan antara aset premium yang bakal dilelong kepada orang ramai.

Proses bidaan berskala besar ini akan memulakan siri jelajahnya di seluruh negara melalui Karnival Jelajah Dasar Peluang Kedua Insolvensi 2026 bermula 26 Jun ini, petik Berita Harian.

Pengarah Insolvensi, Jabatan Insolvensi Malaysia, Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar menjelaskan bahawa tindakan mencairkan aset-aset ini bertujuan untuk membantu individu yang telah diisytihar muflis menyelesaikan baki hutang mereka dengan lebih cepat dan efisien.

Menariknya, karnival ini turut mendapat kerjasama daripada platform e-dagang popular, Shopee, serta beberapa syarikat lain yang akan melelong pelbagai barangan tidak dituntut (unclaimed goods) pada harga bermula serendah RM1.

“Kita kumpulkan aset yang ada di seluruh Malaysia. Setakat ini, di Sabah akan ada sebuah pulau yang akan dilelong. Helikopter dan kapal layar juga ada. Di Putrajaya pula, kita akan adakan lelongan kereta mewah termasuk Bentley dan Audi,” katanya pada sidang media pra-pelancaran karnival tersebut yang dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Jadual Siri Jelajah Karnival Mengikut Zon

Karnival ini akan bergerak secara berperingkat di enam zon seluruh negara, bermula di Putrajaya dan berakhir di Borneo pada penghujung tahun:

26–28 Jun 2026, Zon Tengah: Kuala Lumpur, Selangor & Putrajaya

Julai 2026, Zon Selatan: Johor & Melaka

Ogos–September, Pantai Timur: Pahang, Kelantan & Terengganu

Oktober 2026, Zon Utara: Pulau Pinang, Kedah & Perlis

November 2026, Sabah

Disember 2026, Sarawak

Cara Menyertai & Syarat Bidaan

Bagi mereka yang berminat untuk memiliki aset-aset mewah ini, berikut adalah panduan langkah demi langkah untuk menyertai bidaan:

Semakan Awal: Senarai penuh aset yang akan dilelong di Putrajaya boleh disemak melalui laman sesawang rasmi Jabatan Insolvensi bermula Khamis ini.

Imbas & Lihat: Pembida yang hadir ke tapak karnival (26–28 Jun) hanya perlu mengimbas kod QR yang disediakan dan membeli e-book untuk melihat perincian aset.

Pendaftaran Pantas: Syarat penyertaan adalah sangat mudah. Pembida hanya perlu mendaftar masuk dalam tempoh dua jam sebelum sesi lelongan bermula.

Jadual waktu bidaan yang terperinci akan dipamerkan di tapak karnival, di mana proses bidaan akan dijalankan secara berperingkat mengikut agensi yang terlibat.

Mengenai sasaran kutipan, pihak Jabatan Insolvensi tidak menetapkan jumlah khusus memandangkan nilai akhir adalah tertakluk sepenuhnya kepada nilai bidaan pasaran semasa karnival berlangsung.

Sumber