Peneraju industri pengiklanan luar rumah (OOH) di Malaysia merangkap anak syarikat Media Prima Berhad, Big Tree, mentransformasikan ibu negara menjadi kanvas interaktif berskala besar menerusi penganjuran Big Tree OOH City Tour 2026.
Inisiatif inovatif ini membolehkan para pengamal agensi pengiklanan dan media merasai sendiri potensi sebenar medium pengiklanan luar rumah secara langsung, sekali gus beralih daripada sekadar merangka pelan di atas kertas kepada menjadi sebahagian daripada paparan medium itu sendiri.
Jelajah bertemakan “Bagaimana Jika Bandar Ini Mendengar Suara Anda?” serta slogan “Jangan Sekadar Merancang OOH. Jadilah Sebahagian Daripadanya” itu direka khas bagi mengubah perspektif konvensional terhadap pengiklanan digital luar rumah (DOOH).

Perjalanan peserta bermula di hab pengangkutan KL Sentral, di mana mereka dikejutkan dengan sambutan visual wajah masing-masing pada skrin gergasi Cosmic Towers — pemasangan dwi-skrin DOOH dilengkapi sistem audio di pintu masuk NU Sentral.
“Bayangkan sebaik sahaja anda tiba di stesen utama, wajah anda sendiri dipaparkan menyambut ketibaan di skrin gergasi. Ini membuktikan pengiklanan luar mampu menyentuh emosi individu secara serta-merta,” kongsi seorang peserta yang menyifatkan gimik sambutan berkenaan sebagai pengalaman luar biasa.
Pengalaman tersebut diteruskan dengan perjalanan menaiki transit aliran ringan (LRT) bagi meninjau rangkaian skrin transit Big Tree, sebelum peserta melalui laluan pejalan kaki di sekitar Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) yang menghubungkan pusat beli-belah dan pejabat korporat. Laluan ini memaparkan bagaimana paparan DOOH berintegrasi secara semula jadi dalam mobiliti seharian warga kota.
Seterusnya, peserta dibawa menelusuri jalan raya utama ibu kota dengan menaiki bas persiaran dua tingkat. Sepanjang laluan mercu tanda ikonik Big Tree, swafoto yang dihantar oleh peserta dipaparkan bersilih ganti di papan iklan digital gergasi.
Kemuncak jelajah interaktif ini berlangsung di persimpangan CuBig @ KLCC Junction, iaitu skrin DOOH terbesar milik Big Tree di Malaysia. Menerusi integrasi teknologi Kecerdasan Buatan (AI), swafoto serta mesej peribadi kiriman para peserta dizahirkan menerusi kesan visual anamorfik yang memukau khalayak ramai.
Menerusi satu kenyataan bersama penganjur, pendekatan ini membuktikan medium massa berdaya jangkau tinggi tetap berupaya membina keterlibatan peribadi yang bermakna.
“Inisiatif ini bukan sekadar pameran inventori iklan, sebaliknya sebuah platform dinamik yang menggabungkan lokasi strategik, kreativiti digital, dan interaksi khalayak untuk menghidupkan penceritaan jenama,” jelas kenyataan pihak penganjur.
Program Big Tree OOH City Tour 2026 merupakan hasil kerjasama strategik antara Big Tree Outdoor dan Omnia, penyedia penyelesaian pengiklanan serta pemasaran bersepadu Media Prima Berhad. Kerjasama ini mengukuhkan komitmen berterusan kumpulan berkenaan dalam memacu inovasi dan memperluas potensi industri media tempatan.