Seorang pencipta kandungan berasal dari Indonesia meluahkan apa yang dirasakan selepas melakukan pengembaraan ke Borneo menggunakan kereta 4×4 milikinya.
Menerusi gambar carousell yang dikongsikan berjudul Surat Terbuka Untuk Indonesia di TikToknya, di sini dia mendakwa dirinya baru pertama kali membawa kereta ke luar negeri iaitu Malaysia.
Di dalam pengembaraan yang merangkumi tiga negara di Borneo iaitu Indonesia, Malaysia dan Brunei juga sinonim dengan nama ringkasnya Overland Borneo 360, niatnya dia hanya mahu mencari pengalaman baru dan bersiar-siar sahaja.

Tetapi sebaik berjalan walau di mana jua di dalam Malaysia, sentiasa terasa kagum.
Apa yang dimaksudkan adalah infrastruktur jalan raya yang konsisten dalam keadaan bagus serta rata yang mana menjadikan perjalannya sentiasa selesa.
Selain itu, dia membangkitkan tentang harga minyak secara keseluruhannya lebih murah berbanding di Indonesia. Di sini, dia mendapati harga Euro 5 sekitar RM2.150 per liter dan RON97 pula hanya RM3.17 per liter.
Harga minyak di Indonesia dilihat masih terlalu mahal sehinggakan rakyatnya merasakan ia sebagai sesuatu yang mewah untuk dimiliki.
Sementara lebuh raya yang merangkumi lebih 2,000 kilometer pula bebas daripada dikenakan tol sama sekali. Ini bermula Lebuh Raya Pan Borneo dari hujung Barat ke Timur.
Dia turut memuji akan etika pengguna jalan raya yang berhemat dan sentiasa mematuhi peraturan. Tiada ‘lane hogger’, sabar menunggu giliran dan berwaspada dengan keadaan sekeliling sekaligus pengalaman pemanduan yang tenang dan selamat.
Oleh itu dia menyoal kepada pemerintah di RI berbunyi: Bayangkan, bilakah kita boleh merasai perkara seperti ini di Indonesia?

Melihat ke ruangan komentar, ramai Warga Indonesia yang bersetuju dengan kenyataan lelaki itu dan berharap agar Republik Indonesia boleh mengikuti jejak langkah Malaysia yang sentiasa menjaga kebajikan rakyatnya di dalam pelbagai aspek.


Walaupun kenyataan lelaki itu ada benarnya, sebahagian warga tempatan dari kalangan Malaysia mengakui masih wujud jalan berlopak atau tidak diselenggara dengan baik jika dia menerokai dengan lebih meluas.
Bagaimanapun, secara keseluruhannya Malaysia masih menjadi penanda aras buat negara jiran untuk terus menambah baik infrastruktur mereka.