Ramai apabila berbicara mengenai modal bisnes, mesti nak kena ada paling tidak 6 bulan punya kos operasi.

Kenapa? Yalah biasanya bila mula bisnes baru, kita masih tiada pelanggan, baru dalam fasa untuk memperkenalkan bisnes kita kepada orang ramai. Dan secara tidak langsung, kita akan fikir dan jangkakan yang kita akan rugi pada beberapa bulan pertama dan akan ‘break even’ selepas beberapa bulan sebelum mencatatkan keuntungan yang pertama.

Modal minima?

Untuk mereka yang mempunyai modal yang besar bolehlah buat macam ini. Tapi bagaimana pula dengan orang kebanyakan seperti saya yang hanya mempunyai modal yang tersangat minima?

Takkan orang macam saya yang tak mempunyai modal yang besar tetapi mempunyai semangat yang kuat tak boleh berbisnes?

Ini pendapat peribadi saya sendiri setelah setahun jagung dalam dunia bisnes.

Bisnes umpama bangunan

KLezcar selaku penaja rasmi Power Man.

Buat bisnes ni lebih kurang dengan membina sebuah bangunan. Saya mengambil contoh untuk membina bangunan setinggi 10 tingkat.

Pertama sekali, kita mesti rekaa bangunan kita ini agar ianya mampu beroperasi dengan baik walaupun ianya hanya siap 2 tingkat daripada 10 tingkat.

Yalah, mana kita mampu nak siapkan 10 tingkat terus disebabkan oleh modal kita yang ciput tadi, dengan modal yang ciput tersebut hanya mampu membina 2 tingkat sahaja dari 10 tingkat.

Tetapi disebabkan kita telah reka dari awal lagi projek ini supaya mampu beroperasi dengan baik walaupun hanya siap 2 tingkat sahaja, maka 2 tingkat yang telah siap tadi boleh disewakan kepada orang ramai.

Dengan pendapatan yang diperolehi dari sewaan 2 tingkat tersebut, dengan perlahan kita akan meneruskan kerja pembinaan di tingkat 3.

Siap sahaja tingkat 3, maka kita sudah boleh menyewakan tingkat baru tersebut kepada penyewa. Jumlah pendapatan hasil dari sewaan kini bertmbah.

Hasil sewaan 3 tingkat itu kemudiannya digunakan untuk membina tingkat ke-4. Dan proses ini berulang-ulang sehingga lah bangunan 10 tingkat ini siap dibina dengan sempurna.

Kebaikan

KLEZcar dalam misi amal awal tahun ini.

Ada beberapa kebaikan yang kita akan perolehi jika kita mengikut ‘design’ ini:

1. Walaupun dengan modal yang ciput, kita tetap boleh memulakan pembinaan bangunan tersebut.

2. Tidak memerlukan masa yang lama akibat dari menunggu modal untuk cukup.

3. Mengetahui potensi ‘bangunan’ yang kita bina itu dari sambutan yang diterima dari orang umum.

4. Jika dirasakan tiada sambutan dari orang umum, kita masih lagi boleh membuat perubahan pada tingkat 3 dan seterusnya.

5. Jika terlampau teruk tahap sambutannya, kita mungkin boleh mengambil pendekatan untuk merobohkan binaan 2 tingkat tersebut dan mula membina kembali bangunan yang baru dengan konsep yang baru, rekabentuk yang baru. Jumlah kerugian tidaklah sebesar mana disebabkan jumlah pelaburan yang dibuat adalah ciput.

Dalam 4 tahun lebih jenama KLEZCAR diwujudkan, kami masih lagi membina tingkat-tingkat yang seterusnya. Ianya dibina dengan modal yang ciput, tetapi keazaman dan kesungguhan yang di jana oleh Team KLEZCAR tidak pernah ciput.

Sedikit perkongsian dari Shahril Sidek menerusi pengalaman membina bangunan yang dinamakan KLEZCAR.