Juara bertahan Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) Piala Shopee, Buriram United bakal meneruskan misi mempertahankan trofi berprestij itu pada Rabu ini apabila skuad kendalian Mark Jackson bertandang ke Iskandar Puteri untuk berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT).
Pertemuan separuh akhir pertama itu sekali lagi bakal menghidupkan perseteruan hebat antara kedua-dua pasukan.
Buriram United akan turun berdepan skuad kendalian Xisco Munoz dengan tekad untuk mengekalkan rekod positif menentang skuad gergasi Liga Super Malaysia itu, selepas tidak pernah tewas dalam empat pertemuan terdahulu melibatkan kedua-dua kelab.
Perseteruan mereka yang semakin memuncak dengan JDT merupakan antara yang paling mencuri tumpuan di rantau ini, di mana dua perlawanan berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan, manakala Buriram United memenangi dua lagi perlawanan dengan perbezaan satu gol.
Kesemua pertemuan mereka sebelum ini berlaku dalam saingan AFC Champions League Elite, dengan tiga daripada perlawanan tersebut berlangsung pada musim 2024/25.
Keputusan seri 0-0 dalam fasa liga diikuti dengan kemenangan agregat 1-0 buat Buriram United pada pusingan 16 terakhir. Selepas seri 0-0 pada aksi pertama, gol tunggal Suphanat Mueanta dalam perlawanan timbal balik melayakkan pasukan Thailand itu ke suku akhir edisi lalu.
Kedua-dua kelab bertemu sekali lagi dalam kempen 2025/26 pada September lalu dan Buriram United sekali lagi unggul dengan mencatatkan kemenangan 2-1 hasil jaringan Suphanat dan Robert Zulj yang mengesahkan kemenangan tersebut.
Pertembungan sengit di Stadium Sultan Ibrahim, Johor itu bakal mempertemukan dua pasukan yang paling banyak menjaringkan gol dalam peringkat kumpulan, di mana Buriram United meledak 14 gol berbanding JDT dengan 13 gol.
Bissoli Mahu Buriram Kekalkan Kejuaraan
“Kami tahu ia akan menjadi perlawanan yang sangat sukar, dan kedua-dua pasukan mahu mara ke perlawanan akhir,” kata penyerang Buriram United, Guilherme Bissoli.
“Fokus kami adalah untuk beraksi dengan baik, bermain corak permainan kami dan melakukan segalanya yang termampu untuk layak ke peringkat seterusnya.”
“Ia akan membawa makna yang besar kepada kami semua dan juga kelab, sangat istimewa jika kami dapat memenanginya sekali lagi.
“Ini merupakan kejohanan antarabangsa yang sangat penting dan sangat kompetitif,” tambah Bissoli lagi.