Acara bola sepak Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 bakal memasuki aksi separuh akhir pada petang ini yang menyaksikan Selangor dan Johor sudah terkeluar daripada persaingan.
Persaingan yang berlangsung di Mukah itu bakal menampilkan juara bertahan, Terengganu bersama-sama Kelantan, Wilayah Persekutuan dan Melaka.
Baca Juga:
- Futsal SUKMA 2024: Sarawak, Selangor Bakal Berentap Di Final
- Pasukan Bola Sepak Sukma Kelantan Serba Daif, Bagaikan Anak Tiri
- Perasmian SUKMA Sarawak Lebih ‘Power’ Daripada Olimpik Paris 2024
Pada aksi suku akhir tempoh hari, Kelantan yang dikatakan terbang ke Sarawak dengan serba kekurangan berjaya mengejutkan Johor 3-1.
Bermula dengan tunduk 1-2 ditangan Negeri Sembilan, skuad kendalian Ariff Hj Hashim itu bangkit dengan menewaskan Selangor 2-0 untuk mara ke suku akhir.
Kecemerlangan itu diteruskan untuk menjadikan Johor mangsa seterusnya walaupun lawan mereka dibarisi pemain berpengalaman di pentas antarabangsa iaitu Ahmad Aysar Hadi Mohd Shapri dan Najmuddin Akmal Kamal Akmal.
Kelantan bakal bertemu Wilayah Persekutuan yang lolos ke separuh akhir hasil kemenangan 2-0 ke atas Pulau Pinang.
Wilayah yang dibimbing Nizam Adzha Yusoff mencatatkan satu kemenangan dan dua keputusan seri ketika peringkat kumpulan.
Mereka menundukkan Pahang 1-0 manakala terikat ketika bertemu Sarawak (1-1) dan Perak (0-0).
Juara bertahan, Terengganu yang dibimbing oleh Subri Sulong pula beraksi cemerlang di suku akhir dengan menundukkan Selangor 3-1.
Meskipun tewas pada aksi pembukaan peringkat kumpulan 0-1 ditangan Johor, Terengganu bangkit semula untuk menewaskan Sabah 2-0 untuk membawa mereka ke pusingan kalah mati.
Manakala slot terakhir menjadi milik Melaka yang bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk menang 2-1 pada pertemuan menentang Perak.
Jadual perlawanan separuh akhir bola sepak SUKMA 2024
1) Kelantan lawan Wilayah Persekutuan
3.30 Petang – Padang Mesra MDDM Mukah
2) Terengganu lawan Melaka
3.30 Petang – Stadium Mukah