Selain DSLR, kaca mata pintar juga telah mengubah landskap dunia pembikinan konten dan fotografi dengan memberikam fleksibiliti serta angle yang unik.
Sementara kamera DSLR yang profesional telah disekat daripada dibawa masuk ke dalam Tanah Suci Mekah, bagaimanapula dengan kaca mata pintar seperti Ray-Ban Meta yang mempunyai kemampuan merakam dan menangkap gambar?
Seorang lelaki yang dikenali sebagai Rahim Azhari berkongsi sendiri pengalamannya membawa kaca mata pintar Ray-Ban Meta sewaktu perjalanan umrah baru-baru ini.
Difahamkan sebaik tiba di Jeddah, bagasinya telah memjalani pemeriksaan keselamatan oleh pegawai di lapangan terbang berkenaan.
Tiba gilirannya, Encik Rahim telah ditahan dan diarahkan ke tepi untuk tujuan penyiasatan.
“Dia bagi tahu ada bawa cermin mata yang ada kamera ke dan saya cakap memang ada,” ujar lelaki itu.
Susulan itu, dia dibawa masuk ke dalam pejabat dan disoal siasat dengan pelbagai soalan demi sekuriti sejagat.
Pegawai itu turut menyoal sama ada dia cuba menyeludup sesuatu dan tujuan sebenar datang ke negara itu.
Lelaki itu menafikan perkara itu dan dimaklumkan jika didapati bersalah boleh dikenakan denda sebanyak 1,000 riyal serta Ray-Ban Meta dirampas.
Namun, nasib menyebelahi lelaki itu susulan fasih berbahasa Arab dan berjaya berbincang untuk diberikan pelepasan daripada menerima denda dan hanya kaca mata sahaja yang dirampas.
Jadi, dia menyarankan orang ramai untuk tidak membawa kaca mata itu sama sekali jika tidak mahu menimpa nasib yang sama. Dia sedikit kecewa memandangkan kaca mata pintar itu baru sahaja dibeli apatah lagi harganya yang mahal pada ketika ini.
@rahimazhari Dah lah baru beli. Semoga Allah gantikan dengan yang lebih baik nanti.
Di dalam ruangan komentar, orang ramai meluahkan rasa terkejut kerana tidak mengetahui tentang halangan membawa kamera termasuklah kaca mata pintar sedemikian.
Sebagai makluman tambahan, antara sebab mengapa kerajaan Arab Saudi menyekat seseorang membawa kamera profesional dan seumpamanya adalah bagi memastikan jemaah boleh memberi fokus kepada ibadah dan tidak mengganggu orang lain serta tujuan keselamatan.