Pada awal minggu ini tular saranan mufti Wilayah Persekutuan, Luqman Abdullah kepada para pekerja yang berada dalam dunia pekerjaan bank konvensional untuk berusaha sehabis baik agar mencari pekerjaan halal yang lain.

Menurutnya, mereka yang terlibat dengan bank konvensional dibahagikan kepada dua kategori iaitu bekerja secara langsung dengan transaksi riba atau tidak terlibat secara terus.

Baca Juga:

Terbaharu, Mufti Pulau Pinang Wan Salim Mohd Nor mengulas saranan tersebut, dalam keadaan darurat atau terpaksa bekerja akibat ketiadaan alternatif pekerjaan halal, orang Islam dibenarkan bekerja di bank konvensional.

Memetik laporan Free Malaysia Today, menurutnya perkara itu menunjukkan syariat Islam adalah fleksibel dan sentiasa mengambil kira keadaan hidup manusia yang berubah-ubah.

“Perlu diketahui bahawa hukum ketika seseorang berada dalam situasi darurat atau terdesak adalah dianggap suatu kekecualian daripada hukum biasa atau hukum asal.

“Ia adalah kebenaran sementara sahaja, bukan tetap atau kekal,” kata Wan Salim bersetuju dengan saranan Luqman.

Tambah beliau lagi, pekerja perlu berusaha terlebih dahulu mendapatkan kerja diakui syarak. Apabila dapat kerja sesuai dan halal, barulah tinggalkan kerja di tempat yang haram.