Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dilaporkan telah merampas 807.9kg dadah berbahaya jenis fentanyl bernilai RM44.4 juta di Kompleks Kargo Udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, pada 9 Disember lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Sazali Mohamad berkata dalam serbuan kira-kira 12.30 tengah malam itu, pihaknya menyita 36 kotak berisi 72 botol aluminium mengandungi bahan cecair dadah itu, petik Free Malaysia Today.

Baca Juga:

“Ini merupakan kes pertama JKDM merampas dadah jenis ini yang 100 kali lebih berbahaya daripada morfin dan 20 ke 40 kali lebih kuat daripada heroin.

“Sekiranya ia dicampur dengan dadah jenis xylazine akan menyebabkan manusia boleh jadi macam zombie. Ia sangat berbahaya sekiranya berleluasa dalam negara, bagaimanapun ia bukan untuk pasaran Malaysia,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Hasil siasatan awal mendapati dagangan itu dihantar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Mumbai, India dan transit di Kompleks Kargo KLIA sebelum dihantar ke Dubai menggunakan laluan udara.

Sindiket terbabit membuat pengikraran palsu, iaitu mengisytiharkan barangan tersebut sebagai sebatian pewangi.

Rampasan ‘dadah zombie‘ seberat 807.9kg itu berjaya mencegah daripada disalah gunakan oleh kira-kira empat juta penagih dadah.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 39(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan siasatan masih dijalankan untuk mengesan individu terlibat.

Dalam pada itu, Sazali berkata dari Januari hingga November lalu, JKDM menumpaskan 398 kes dadah melibatkan heroin, ketamin, kanabis dan methamphetamine berjumlah RM294.37 juta.

Beliau menyeru orang awam bekerjasama dan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dadah dan barangan lain seperti rokok, minuman keras dan mercun dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam terdekat, selain memberi jaminan identiti mereka dirahsiakan.