Skuad boling negara terus melakar kejayaan dalam Kejohanan Boling Piala Dunia IBF 2025 di Hong Kong selepas pasukan lelaki mengesahkan kejuaraan menjadi milik mereka sebentar tadi.
Kejayaan manis itu merupakan gelaran juara kedua buat kem Malaysia yang sebelum ini meraikan kejayaan Natasha Roslan mengungguli acara perseorangan wanita.
Baca Juga:
- Utamakan Ibadah, Produksi Sheila Rusly Dipuji Solat Terawih Secara Berjemaah Di Pusat Boling
- Mengimbau Kejayaan Atlet Malaysia Di Pentas Dunia Pada 2024
- Senarai 10 Acara Dipertandingkan Dalam Sukan Komanwel 2026
Skuad berpasukan lelaki negara diwakili oleh Rafiq Ismail, Timmy Tan, Ahmad Muaz Mohd Fishol, Tun Ameerul Luqman Al Hakim Tun Haznul Azam.
Beraksi menentang Puerto Rico di pentas final dengan menggunakan format ‘best of 5’ itu, gandingan Malaysia itu mempamerkan aksi cemerlang untuk menang 3-2.
Perlawanan pertama menyaksikan Malaysia meraih mata pertama dengan 203 jatuhan pin berbanding 170 buat Puerto Rico.
Perlawanan kedua, Puerto Rico memulakan dengan mendahului selepas membuat empat ‘strike’ berturut-turut sementara Malaysia membuat dua ‘spare’ dan satu strike, diikuti dengan ‘double’.
Puerto Rico kemudiannya terus cemerlang untuk menjadikan kedudukan terikat 1-1 dengan perbezaan 257-216.
Aksi lebih menarik dengan Malaysia menjadikan kedudukan 2-1 hasil kemenangan 197-180 dan Puerto Rico enggan memberikan kemenangan mudah buat Malaysia dimana mereka bangkit dengan 222-185.
Permainan terakhir juga tidak kurang menariknya dengan kejuaraan dunia sah menjadi milik Malaysia hasil kemenangan 227-161.
Malaysia berpeluang untuk menambah koleksi kejuaraan dalam Piala Dunia Boling 2025 apabila sedang beraksi di pentas final dalam acara berpasukan wanita.
Sin Li Jane, Natasha Mohamed Roslan, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman dan Gillian Lim akan berhadapan dengan wakil Amerika Syarikat.