Hari Gawai tahun ini ibarat tidak bermakna lagi buat 14 keluarga yang kehilangan tempat tinggal kerana kebakaran.
Rumah Panjang yang dilaporkan memiliki 102 unit kediaman yang terletak di Kampung Long Bangan Apoh, Baram itu, 14 daripada unit kediaman musnah dalam satu kebakaran.
Namun mereka berjaya menghalang kebakaran itu merebak dengan lebih teruk ke kediaman lain.
Bomba mengambil masa 6 jam untuk sampai ke kawasan tersebut. Kerana balai bomba yang paling hampir dengan rumah panjang tersebut adalah terletak 248 kilometer.
Kebakaran itu berlaku pada 5 pagi. Dan pihak bomba hanya mendapat panggilan pada 9 pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi, Maureen Sim Ah Lian bersama tiga anggotanya berserta dua pegawai penyiasat kebakaran Zon 6, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, tetap pergi ke lokasi kejadian meskipun jaraknya sangat jauh.
Di mana Maureen dan pasukannya menggunakan pacuan empat roda untuk menempuh perjalanan lebih enam jam untuk sampai ke tempat kejadian.
Perjalanan ke kampung tersebut menjadi lebih sukar kerana tanah merah menjadi licin akibat hujan.
Ketika lalu di kawasan kering pula, jalan berdebu menyukarkan penglihatan pemandu.
Turut difahamkan, di tempat kejadian tiada liputan komunikasi membuatkan sukar untuk berhubung.
Dipetik daripada Harian Metro, Maureen berkata: “Setibanya di lokasi pada 3.04 petang, didapati kebakaran rumah panjang berstruktur tidak kekal.
“Kejadian itu membabitkan 14 unit kediaman yang terbakar sepenuhnya, manakala sebuah pacuan empat roda iaitu Toyota Hilux dan sebuah motosikal Honda Wave turut musnah.”
Bomba mengesahkan seramai 46 orang mangsa dalam kebakaran itu termasuk seorang lelaki dewasa yang lumpuh, seorang wanita kurang upaya dan 12 kanak kanak. Namun kesemuanya berjaya melarikan diri ke tempat selamat dan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.
Bomba masih menyiasat punca kebakaran dan nilai kerugian yang ditanggung oleh mangsa.