Bosch kini secara rasmi membuka salah satu tapak pengeluaran back-end bagi semikonduktor yang paling maju di Asia dengan memilih Pulau Pinang untuk pengujian akhir cip dan sensor automotif mereka.

Sehingga pertengahan tahun 2030, Bosch berhasrat untuk melabur kira-kira 350 juta EUR (~RM1.62 bilion) untuk tapak pengeluaran.

Baca Juga:

Ahli Lembaga Sektor Mobiliti Bosch, Klaus Maeder, berkata pembukaan tapak pengeluaran di Pulau Pinang, ia membolehkan syarikat terus memperkukuh perniagaan semikonduktor dan jejak pembuatannya secara sistematik untuk memenuhi permintaan cip global.

“Semikonduktor adalah kunci kejayaan semua bidang perniagaan Bosch. Tapak pengeluaran sokongan di Pulau Pinang menjadi komponen penting dalam strategi pertumbuhan dalam sektor mobiliti kerana kami bertindak balas terhadap peningkatan permintaan untuk semikonduktor.

“Kami memilih untuk melabur di Pulau Pinang kerana tahap pengetahuan semikonduktornya yang tinggi dan tenaga kerja mahirnya. Kedudukannya yang berdekatan dengan rakan kongsi perniagaan dan pelanggan adalah satu lagi kelebihan, kerana ia akan memendekkan masa dan jarak penghantaran untuk cip,” katanya.

Buat masa ini, tapak berkenaan meliputi kira-kira 18,000 meter persegi dan termasuk bilik bersih, ruang pejabat, dan makmal untuk jaminan kualiti dan pembuatan.

Menurut Bosch, pengeluaran semikonduktor pada asasnya boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu pengeluaran hadapan dan sokongan.

Dengan keluasan tanah 100,000 meter persegi, kemudahan di Pulau Pinang itu adalah yang pertama seumpamanya bagi Bosch di rantau Asia Tenggara.

Dengan ini, ia akan menumpukan terutamanya kepada pengeluaran sokongan iaitu pengujian akhir bagi cip yang dikeluarkan di kilang Bosch di Dresden, Jerman.

Menurut Bosch, Malaysia adalah peserta utama dalam pasaran semikonduktor global. Malah, Malaysia adalah antara 10 pengeluar produk semikonduktor dan elektronik terbesar di dunia, yang menyumbang kira-kira tujuh peratus daripada perdagangan semikonduktor dunia.

Kemudahan baharu Pulau Pinang itu dijangka mempunyai sehingga 400 tenaga kerja menjelang pertengahan 2030. Selain itu, Malaysia dianggarkan memenuhi kira-kira 13 peratus daripada pengeluaran back-end dalam rantaian bekalan semikonduktor global Bosch.