Satu kejadian kemalangan berlaku di Jalan Syed Putra berhampiran Lebuhraya Persekutuan dua hari lalu telah mengundang pertikaian netizen.

Menerusi rakaman video dashcam yang dikongsikan oleh Facebook Huey Tze Lai, insiden itu bermula apabila penunggang motosikal seperti marah sambil membuat isyarat tangan seakan meminta kereta yang berada di kirinya diperlahankan.

Tidak mengendahkan penunggang motosikal tersebut, pemandu kereta secara tiba-tiba memintas motosikal dan membuat brek mengejut di hadapannya.

Oleh kerana tindakan itu berlaku sekelip mata,  penunggang motosikal gagal mengelak lalu merempuh bahagian belakang kereta terbabit.

Sejurus penunggang motosikal jatuh tersembam di atas jalan raya, pemandu kereta terbabit memecut meninggalkan lokasi kejadian.

Menurut Huey Tze, selepas kejadian itu berlaku dia segera keluar daripada keretanya dan memberikan bantuan awal kepada mangsa.

“Saya pergi dan memeriksa penunggang motosikal itu dan dia memberitahu saya bahawa dia tidak dapat menggerakkan kakinya. Dagunya memancut darah tanpa henti,” tulis Huey Tze dalam hantaran Facebook miliknya.

Tindakan pemandu kereta itu yang terburu-buru itu telah mengundang pertikaian netizen. Ramai yang mengecam tindakan pemandu kereta.

Bagaimanapun ada yang meminta pemilik video dashcam untuk berkongsi rakaman video penuh untuk mengetahui penyebab utama penunggang motosikal begitu marah dengan pemandu kereta tersebut.

https://twitter.com/theamnizaidi/status/1693755053994279397?s=20

Dalam pada itu, penunggang motosikal ada menghubungi Huey Tze memberitahu keadaan semasanya. Kini dia berada di hospital sedang dalam pemulihan selepas menerima rawatan kakinya yang patah.

Memetik laporan New Straits Times, setakat ini pihak polis masih tidak mendapat sebarang laporan mengenai insiden yang berlaku itu.