Sejak beberapa minggu lalu trend ‘Aura Farming Boy‘ menjadi perhatian seluruh dunia.

Walaupun tidak berlumba Pacu Jalur seperti di Indonesia, ramai pihak berlumba-lumba untuk memuat naik aksi tarian itu di media sosial masing-masing.

Baca Juga:

Bagaimanapun nasib tidak menyebelahi kepada dua orang lelaki ini.

Menurut kenyataan Polis Dubai, pihaknya telah merampas dua kenderaan selepas pemandunya didapati melakukan aksi berbahaya di jalan awam dalam usaha meraih populariti di media sosial.

Brigedier Juma Salem bin Suwaidan, Pemangku Pengarah Jabatan Trafik Am Polis Dubai, mengesahkan bahawa rondaan trafik berjaya mengenal pasti pemandu tersebut melalui dua video yang tular.

Dalam rakaman berkenaan, kedua-dua individu itu dilihat memanjat bonet kenderaan mereka yang sedang bergerak dengan cara berbahaya untuk merakam konten (Aura Farming Boy) bagi meningkatkan tontonan serta populariti dalam talian.

“Tindakan cuai ini memberi ancaman serius terhadap keselamatan pemandu itu sendiri serta pengguna jalan raya lain. Ia merupakan satu pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang trafik dan tidak boleh diterima sama sekali,” tegas Brigedier bin Suwaidan.

Polis Dubai bertindak dengan merampas kedua-dua kenderaan tersebut dan menguatkuasakan Dekri No. 30 Tahun 2023, yang mewajibkan bayaran denda sebanyak AED50,000 (RM 57,300) bagi melepaskan kenderaan yang dirampas akibat kesalahan sedemikian.

Brigedier bin Suwaidan menegaskan bahawa Polis Dubai mengamalkan dasar sifar toleransi terhadap aksi berbahaya dan kelakuan cuai di jalan raya.

Beliau turut memberi amaran bahawa perkongsian aksi sedemikian di media sosial bukanlah alasan untuk membahayakan nyawa atau menjejaskan keselamatan awam.

“Jalan raya awam bukanlah gelanggang aksi, dan menggunakan media sosial untuk mempromosikan perbuatan berbahaya sebegini sama sekali tidak boleh diterima,” tambahnya.