Seorang remaja berusia 15 tahun itu ditahan kira-kira jam 6.30 petang oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh selepas membuat aksi ‘wheelie‘ di sekitar kawasan Pantai Bisikan Bayu, Tok Bali di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintenden Zaizul Rizal Zakaria berkata, semasa operasi ‘Op Samseng Jalanan’ dijalankan remaja terbabit membuat aksi berbahaya berkenaan, petik Sinar Harian.
“Penunggang motosikal itu telah dibawa ke pejabat Trafik IPD Pasir Puteh untuk menjalani ujian saringan air kencing dan didapati negatif dadah.
“Remaja tersebut telah ditahan bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu dan berbahaya yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda hingga RM15,000 jika sabit kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambahnya lagi, pihaknya akan berterusan melaksanakan operasi khas bagi membanteras aktiviti samseng jalanan dan lumba haram di beberapa kawasan setempat.