Niat murni mahu bersedekah bertukar menjadi tanda tanya apabila ia dimanipulasikan oleh pihak tertentu untuk mendapat keuntungan mudah.
Baru-baru ini, tular di media sosial mengenai tindakan seorang peniaga dari negara jiran yang menjalankan sesi ‘Live Infak’, namun secara terbuka meminta penonton dari Malaysia untuk menanggung kos tersebut.
Berdasarkan perkongsian di Threads, pada mulanya, ramai penonton dari Malaysia terpegun melihat barisan pelanggan yang panjang menunggu untuk mendapatkan hidangan nasi yang kelihatan menyelerakan dan murah.
Bagaimanapun, hakikat di sebalik tabir rupa-rupanya agak berbeza apabila pelanggan yang beratur di bawah panas terik itu sebenarnya bukanlah pembeli, sebaliknya mereka sedang menunggu agihan makanan percuma melalui program infak.

Peniaga tersebut menjalankan penstriman langsung (live) sambil membungkus makanan dalam jumlah yang besar, namun kos bagi hidangan tersebut diharapkan datang daripada sumbangan penonton, terutamanya rakyat Malaysia yang terkenal dengan sifat dermawan.

Isu menjadi lebih hangat apabila cara komunikasi peniaga tersebut dilihat kurang disenangi kerana soalan-soalan yang diajukan oleh penonton sering diendahkan, malah ada yang mendakwa peniaga sengaja memilih untuk tidak menjawab atau bertindak membisukan (mute) penonton yang bertanya secara kritis.
Situasi ini menimbulkan perdebatan dalam kalangan netizen mengenai etika berniaga sambil beramal. Walaupun tujuannya adalah untuk memberi makan kepada mereka yang memerlukan, kaedah yang seolah-olah “menagih” simpati penonton dari luar negara.
Ditambah pula layanan yang kurang mesra semasa sesi siaran langsung dianggap sebagai sesuatu yang tidak profesional.
Fenomena ini menjadi peringatan agar orang ramai lebih berwaspada dan berfikir panjang sebelum menyalurkan sumbangan dalam talian.
“Asal meminta dekat malaysian eh? sebab malaysian pemurah sangat? ini mengemis bukan infaq.”
“Mintak sedekah cara moden.”
“Nampak tak depa mengharapkn orang Malaysia yang sedekah siap pin komen.”
“Sebab orangg malysia hati mudah cair bab2 sedekah, itu sebab ramai orang luar senang buat duit, datang-datang malaysia jadi pengemis”, demikian antara komentar yang dikongsikan oleh warganet tempatan rentetan kegiatan tersebut.