Kuala Lumpur sering kali diserikan dengan alunan muzik jalanan yang menghidupkan suasana kota, terutamanya di kawasan tumpuan pelancong.

Namun, sebuah hantaran yang tular di platform Threads baru-baru ini mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan pengguna media sosial tempatan.

Buat Sesi 'Busking' Tepi Jalan KLCC, Tindakan Penyanyi Indonesia Ini Ditegur Warganet
Sumber Gambar: Threads

Satu tangka layar memaparkan seorang individu yang didakwa merupakan penyanyi kelahiran Indonesia, Tegar, sedang membuat persembahan jalanan atau busking di laluan pejalan kaki berlatarbelakangkan Menara Berkembar Petronas (KLCC).

Lengkap dengan mikrofon, pembesar suara mudah alih serta sekaki payung, individu berkenaan dilihat sedang bersiaran secara langsung di platform TikTok sambil menyanyi di bahu jalan.

Bagaimanapun, tindakan tersebut tidak disambut dengan sorakan peminat, sebaliknya mengundang rasa kurang senang dalam kalangan netizen Malaysia yang bimbang perbuatan itu menjejaskan keteraturan dan ketenteraman ruang awam.

 Dari Pentas Terbuka Ke Kaki Lima Jalanan

Sebelum insiden di tepi jalan ini menjadi bualan hangat, ada pihak yang menyedari bahawa penyanyi tersebut sebenarnya pernah membuat persembahan di lokasi yang lebih teratur, termasuk di kawasan bumbung Ombak KLCC.

Malah, ada juga pengguna media sosial berkongsi bahawa sebelum ini Tegar sering menerima jemputan menyanyi di pelbagai lokasi sekitar Sabah tanpa mencetuskan sebarang isu.

Namun, keputusannya untuk turun ke bahu jalan secara terbuka dan bernyanyi sambil bersiaran langsung di laluan pejalan kaki KLCC dilihat sebagai langkah yang kurang cermat.

Perbezaan antara persembahan di premis khusus dengan tindakan membuka busking santai di tempat awam inilah yang akhirnya mengundang teguran dan perhatian ramai pihak.

Kebimbangan Mengenai Permit Dan Peraturan Ruang Awam

Antara perkara paling utama yang dibangkitkan oleh orang ramai adalah mengenai pematuhan undang-undang tempatan serta kebenaran untuk melakukan persembahan di kawasan awam.

Di Malaysia, aktiviti busking di kawasan bandar lazimnya tertakluk kepada permit khas daripada pihak berkuasa tempatan bagi memastikan kelancaran laluan dan keselesaan pejalan kaki.

Salah seorang pengguna Threads menegaskan bahawa setiap individu yang berkunjung ke negara orang sewajarnya menghormati sistem perundangan yang telah ditetapkan.

“Bukan kalau kat Malaysia nak busking tepi jalan kena ada kebenaran ke? Kena ada permit tak silap.

Wahai warga Indonesia, hormatlah negara orang. Nanti kena angkut, Malaysia juga salah padahal memang rules dekat sini macam tu,” ulas pengguna bernama aikaforshort di ruangan komen.

Pandangan tersebut turut disokong oleh netizen lain yang berpendapat bahawa kebiasaan di negara asal tidak wajar dibawa masuk sewenang-wenangnya tanpa melihat batas tempatan.

“Hanya sebab benda ini biasa di negara kamu tidak bereerti ini boleh diterima atau dilakukan di negara orang lain. Bila masuk ke dalam masyarakat orang lain, tolonglah hormat sedikit dan pandai-pandai bawa diri,” luah pengguna bernama tehaisikattepi.ye.

Reaksi Berbelah Bahagi Dan Suara Warganet

Hantaran asal yang dimuat naik oleh akaun Orangcantikkk mendesak agar pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya demi menjaga imej dan ketenteraman negara.

Pemilik akaun tersebut kemudiannya menjelaskan bahawa niat asalnya bukanlah untuk mencetuskan sentimen permusuhan antara dua negara, sebaliknya mahu masyarakat lebih peka terhadap peraturan serta keharmonian persekitaran bersama.

Menariknya, perkongsian ini turut mendapat reaksi matang daripada warga Indonesia sendiri yang bersikap rasional dan menyokong tindakan undang-undang sekiranya terdapat sebarang pelanggaran syarat.

“Kalau orang kami melanggar aturan di negara kalian, jatuhkan hukuman kak. Berikan sanksi agar tidak semena-mena,” tulis pengguna beminibar_ yang menegaskan bahawa undang-undang sesebuah negara wajar dipatuhi oleh sesiapa sahaja tanpa kompromi.

Dalam pada itu, ramai pengguna pantas mengenali individu terbabit sebagai bekas penyanyi cilik yang dahulunya meraih perhatian ramai menerusi lagu jalanan Aku Yang Dulu Bukanlah Yang Sekarang.

Tampil Mohon Maaf Dan Hanya Bersiaran Dari Bilik

Buat Sesi 'Busking' Tepi Jalan KLCC, Tindakan Penyanyi Indonesia Ini Ditegur Warganet
Sumber Gambar: Threads

Menyedari tindakannya mengundang kegelisahan ramai, perkongsian terbaharu di ruangan komen mendedahkan bahawa individu berkenaan telah tampil memohon maaf secara terbuka.

Melalui satu sesi siaran langsung, dia mengakui kesilapannya dan menyatakan rasa takut serta enggan mengulangi perbuatan busking di bahu jalan tersebut lagi.

Buat Sesi 'Busking' Tepi Jalan KLCC, Tindakan Penyanyi Indonesia Ini Ditegur Warganet
Sumber Gambar: TikTok

Malah, dalam siaran langsung terkini di akaun media sosialnya, dia dilihat tidak lagi keluar menyanyi di ruang awam, sebaliknya hanya mengadakan sesi live dari dalam bilik penginapannya sahaja sambil berinteraksi bersama para pengikut.

Insiden ini menjadi satu cerminan penting tentang prinsip di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Seni jalanan sememangnya mampu memberi warna kepada sesebuah kota, namun adab, kepekaan budaya serta rasa hormat terhadap peraturan sesebuah negara tetap menjadi keutamaan di mana jua kita melangkah.