Kajian terkini oleh Remote, sebuah syarikat perkhidmatan sumber manusia global, mendedahkan keputusan yang agak mengejutkan mengenai keseimbangan hidup dan kerja (work life balance) di kalangan 60 negara dengan KDNK tertinggi di dunia.

Malangnya, Malaysia berada di kedudukan kedua terakhir, menjadikannya negara Asia yang terburuk dalam indeks tersebut.

Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti negara-negara dengan keseimbangan hidup dan kerja terbaik dengan menganalisis beberapa faktor berkaitan tempat kerja.

Faktor-faktor ini termasuk, cuti tahunan berkanun (jumlah hari cuti berbayar, termasuk cuti umum), bayaran sakit minimum (% gaji atau jumlah tetap), cuti bersalin  (jumlah minggu berbayar), Kadar bayaran cuti bersalin (% gaji), gaji minimum, status penjagaan kesihatan dan Skor indeks kebahagiaan (The Global Economy)

Dalam senarai tersebut, New Zealand dinobatkan sebagai negara dengan keseimbangan hidup dan kerja terbaik dengan skor 79.35 daripada 100, diikuti oleh Sepanyol dan Perancis masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

2 negara yang masuk senarai 5 teratas adalah Australia dan Denmark.

Di Asia, negara tertinggi dalam senarai adalah Taiwan di tempat ke-16, diikuti oleh Singapura di tempat ke-19 dan Arab Saudi di tempat ke-27.

Malaysia pula berada di kedudukan ke-59 dengan skor hanya 27.51 daripada 100, menjadikan kita negara kedua terburuk dalam indeks selepas Nigeria.

Kajian tersebut mencatatkan bahawa Malaysia mempunyai 19 hari cuti tahunan berkanun, 14 hari cuti bersalin berbayar, dan gaji minimum hanya USD1.07 sejam.

Tambahan pula, Remote juga menegaskan bahawa Malaysia mempunyai sistem penjagaan kesihatan yang dibiayai oleh kerajaan, indeks kebahagiaan 5.71 daripada 10, purata 40.8 jam bekerja setiap minggu dan indeks LGBTQ+ hanya 9 daripada 100.

Keputusan ini menunjukkan bahawa terdapat banyak ruang untuk penambahbaikan dalam mencapai keseimbangan hidup dan kerja yang lebih baik di Malaysia.

Walaupun terdapat beberapa kelebihan seperti sistem penjagaan kesihatan yang dibiayai kerajaan, aspek-aspek lain seperti gaji minimum memerlukan tindakan segera.