Filem seram psikologi Obsession terus menggegarkan pawagam dunia apabila berjaya melepasi kutipan AS$400 juta (lebih RM1.7 bilion) di box office global.

Siapa sangka sebuah filem yang dihasilkan dengan bajet hanya sekitar AS$750,000 (kira-kira RM3 juta) kini muncul sebagai antara fenomena terbesar industri perfileman tahun ini.

Lebih mengejutkan, angka terkini kutipan filem Obsession mencecah sekitar AS$405 juta, bersamaan kira-kira 540 kali ganda daripada kos pembikinannya.

Pencapaian luar biasa itu menjadikan Obsession sebagai filem dengan bajet bawah AS$1 juta yang mencatat kutipan tertinggi dalam sejarah, sekali gus memintas rekod yang bertahan sejak era filem legenda Bruce Lee, Enter the Dragon.

Ia juga menjadi filem pertama meraih kutipan lebih 540 kali ganda daripada bajet.

Lebih menarik, filem arahan Curry Barker ini bukanlah sebuah produksi gergasi Hollywood.

Ia dibina dengan bajet yang sangat terhad, namun Obsession berjaya mencuri perhatian penonton melalui jalan cerita yang menyeramkan, promosi dari mulut ke mulut serta ulasan positif daripada pengkritik dan penonton.

Kejayaan ini sekali lagi membuktikan bahawa dalam dunia perfileman, idea yang hebat dan jalan cerita yang kuat mampu mengatasi kekangan bajet. Tidak semestinya perlu berbelanja ratusan juta dolar untuk menghasilkan sebuah karya yang mampu menawan dunia.

Walaupun kutipan box office tidak sama dengan keuntungan bersih kerana masih perlu ditolak kos pemasaran, pengedaran dan perkongsian hasil dengan pawagam, pencapaian Obsession tetap dianggap antara kisah kejayaan paling luar biasa dalam sejarah moden industri filem.

Jadi selepas ini, kepada pengarah yang memiliki bajet terhad, boleh menjadikan kejayaan filem ini sebagai motivasi.