Isu jerebu rentas sempadan sekali lagi mencetuskan kebimbangan serantau apabila kebakaran hutan dan lahan (Karhutla) di Indonesia terus menyelubungi ruang udara Malaysia dan Singapura.

Memahami keresahan yang timbul, pihak pemerintah Indonesia tampil memberikan penjelasan berhubung situasi sebenar yang sedang berlaku.

Di Luar Kawalan Manusia dan Sumbangan Hutan

Memetik laporan Kompas.com, Kepala Badan Komunikasi Pemerintah Republik Indonesia (Bakom), Syahganda Nainggolan, menyatakan bahawa kerajaan Indonesia amat memahami keprihatinan masyarakat di Malaysia dan Singapura.

Menurut beliau, bencana yang berlaku kali ini merupakan fenomena alam semulajadi dan bukannya berpunca daripada kecuaian manusia semata-mata.

“Jadi, kita juga minta kepada semua tetangga kita untuk mengerti ini adalah di luar melampaui kesilapan manusia, ini betul-betul alam,” kata Ganda ketika ditemui di pejabat Lemhannas, Jakarta.

Ganda turut menegaskan bahawa hubungan diplomasi antara Indonesia dan Malaysia kekal berada dalam keadaan sangat baik.

Mengulas lanjut mengenai peranan hutan di Indonesia, beliau menyentuh sumbangan ekosistem negara itu terhadap kualiti udara serantau secara keseluruhan.

“Kita bukan hanya mengirim asap, tapi kalau asapnya enggak ada, kita mengirim oksigen. Oksigen Singapura dan Malaysia itu kan datang dari hutan-hutan kita,” ujarnya.

@kompascom

Kepala Badan Komunikasi Pemerintah RI (Bakom) Syahganda Nainggolan mengatakan, pemerintah memahami keresahan Malaysia dan Singapura terkait asap kebakaran hutan dan lahan (Karhutla) yang mengepung dua negara tersebut. Ganda menyebut, Karhutla yang terjadi di luar kesalahan manusia atau human error karena merupakan fenomena alam. Ganda mengatakan, hingga saat ini hubungan Indonesia dan Malaysia berjalan sangat baik. 🎥: Kompas.com/Haryanti Puspa Sari Penulis: Haryanti Puspa Sari, Robertus Belarminus Kreatif: Safira Nurulita Produser: Elizabeth Ayudya ` Karhutla Peristiwa Cut

♬ original sound – Kompas.com – Kompas.com

Bantuan Malaysia Menanti Perincian Teknikal

Dalam pada itu, usaha diplomatik untuk menyelesaikan masalah ini sedang berjalan lancar.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah mengutus Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan, untuk berbincang secara mendalam bersama rakan sejawat di Indonesia.

Hasil perbincangan awal menyaksikan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, secara prinsipnya telah bersetuju menerima tawaran bantuan daripada Malaysia.

Walau bagaimanapun, kedua-dua negara masih memperincikan mekanisme operasi, merangkumi tatacara pelaksanaan serta lokasi penempatan pasukan bomba Malaysia, terutamanya di kawasan kritikal seperti Kalimantan.

Keadaan Udara Semakin Membimbangkan

Menteri Luar Negeri Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan, menaruh harapan tinggi agar isu teknikal berkaitan operasi pemadaman dapat dimuktamadkan dengan kadar segera supaya pasukan bantuan boleh dihantar tanpa sebarang kelambatan.

“Saya sendiri berharap persoalan operasional antara kedua negara dapat segera diselesaikan dan diputuskan sehingga kami dapat mengirim tim untuk membantu rekan-rekan di Indonesia memadamkan kebakaran,” kata Mohamad Hasan.

Beliau menambah, tahap kualiti udara di Malaysia kini sudah mencapai peringkat yang amat membimbangkan. Indeks Pencemaran Udara (IPU) di sesetengah kawasan bukan sahaja berada pada kategori tidak sihat, malah hampir melangkah ke paras berbahaya.

Kerjasama erat dan tindakan pantas kedua-dua negara jiran ini amat dituntut demi keselamatan serta kesejahteraan rakyat serantau.