Mulai tahun ini, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) akan memperkenalkan inisiatif ‘PhD by Product’ yang bakal membawa perubahan besar kepada landskap pendidikan tinggi negara.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran, program sulung di Malaysia dan antara yang terawal di rantau ini diperkenalkan selaras dengan trend pendidikan global yang kini lebih menekankan aspek inovasi serta impak nyata kepada masyarakat.

Bukan Lagi Sekadar Tesis, MQA Lancar Inisiatif 'Cipta Produk Dapat PhD' Tahun Ini
Sumber Gambar: Kosmo

Langkah strategik ini juga diambil bagi menyokong hasrat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, dalam merealisasikan visi Malaysia sebagai hab pendidikan global yang kompetitif.

“Inisiatif ‘PhD by Product’ ini memberi ruang lebih fleksibel kepada institusi pendidikan tinggi (IPT) dalam memperkukuh daya saing di peringkat nasional dan antarabangsa dalam arena pendidikan tinggi.

“Sasaran kerajaan untuk menarik 250,000 pelajar antarabangsa menjelang 2030 memerlukan pendekatan lebih dinamik dalam sistem pendidikan tinggi, termasuk memperluas bentuk pengiktirafan akademik terhadap inovasi dan penciptaan produk berimpak tinggi,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau menyatakan bahawa ‘PhD by Product’ membuka ruang buat para inovator untuk ditauliahkan setaraf calon PhD konvensional berdasarkan kualiti produk yang dihasilkan.

Inisiatif ini mengiktiraf nilai praktikal sesuatu inovasi dalam menangani isu industri dan sosial, sekali gus menawarkan alternatif akademik yang lebih dinamik namun tetap mengekalkan keutuhan kualiti pendidikan tinggi.

“Setiap produk yang dicalonkan perlu memenuhi standard produk nasional serta melalui proses penilaian ketat yang ditetapkan badan berkaitan dan calon yang memenuhi semua kriteria akan layak dianugerahkan kelayakan Tahap 8 (T8), iaitu setara dengan PhD dalam Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF).

“Inisiatif ini turut memberi ruang kepada individu yang cenderung kepada inovasi berasaskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), reka cipta serta pembangunan produk, berbanding penulisan tesis akademik semata-mata,” katanya.

Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran menegaskan bahawa inisiatif ‘PhD by Product’ dirangka bagi menyediakan ruang akademik yang lebih inklusif, khususnya bagi individu yang memiliki kepakaran tinggi dalam inovasi dan penciptaan produk berbanding penulisan akademik tradisional.

Langkah ini diambil tanpa mengompromi aspek integriti dan kualiti pendidikan tinggi negara.

Garis panduan komprehensif mengenai pelaksanaan mod ini dijangka akan diterbitkan oleh MQA pada Julai 2026. Pihak MQA turut mengunjurkan penyertaan meluas daripada Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di seluruh negara bagi mengguna pakai kerangka baharu ini.

Pelaksanaan ini bakal meletakkan Malaysia sebagai antara perintis dunia dalam mengiktiraf inovasi produk sebagai laluan ijazah doktor falsafah.

Inisiatif strategik ini bukan sahaja mengiktiraf nilai praktikal sesuatu ciptaan, malah memperkukuh reputasi Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi antarabangsa yang dinamik dan progresif.

Sumber