Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) bakal membuat perancangan besar mengundang pasukan gergasi Eropah untuk aksi persahabatan antarabangsa pada masa akan datang.

Mereka sebelum ini menentang juara Piala Dunia 3 kali, Argentina yang menyaksikan Asnawi Mangkualam menjadi sebutan selepas membentes bintang Manchester United, Garnacho di Stadium Gelora Bung Karno.

Baca Juga:

Namun, Presiden PSSI Erick Tohir mahu meningkatkan kualiti pasukan kebangsaan Indonesia dengan perbanyakkan lagi aksi persahabatan menentang pasukan ranking tinggi.

“Agenda kami di masa akan datang adalah untuk menjemput beberapa lagi pasukan lain.

“Jika sebelum ini kita sudah menentang Argentina, jadi adalah tidak mustahil untuk kita menjemput pasukan pasukan besar yang lain seperti Belanda, Sepanyol, dan Portugal datang.

“Jadi jika mahu menang ke atas pasukan kuat, kita harus memiliki kualiti yang baik,” jelas Erick Tohir dipetik dalam Bola Sport.

Indonesia ketika ini memiliki skuad terbaik yang dibarisi oleh beberapa pemain warisan dari liga eropah, dan masih kekal bersaing dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2026.

Menurut Erick Tohir, Indonesia kini bukan lagi level Asia Tenggara seperti dulu kerana mereka mampu bersaing dengan pasukan gergasi Asia yang lain.

“Standard pasukan Indonesia kini sudah naik, dan bukan lagi seperti dahulu.

“Kita sudah melawan pasukan seperti Jepun, Arab Saudi dan Australia. Jadi memang ada peningkatan dan lebih baik,” tegas beliau.