Larangan penjualan dan penajaan produk rokok elektronik (vape) di semua premis di seluruh negeri ini bukanlah bertujuan untuk menyulitkan kehidupan rakyat, tetapi lebih kepada memastikan kesejahteraan dan manfaat jangka panjang bagi seluruh negeri dan negara.

Memetik Harian Metro, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, menyatakan bahawa langkah tersebut merupakan penzahiran prinsip Islam yang mengutamakan pencegahan berbanding pengubatan, dan juga menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam memelihara kesihatan rakyat.

vape
Sumber Gambar: Harakah Daily

Beliau menjelaskan bahawa kesan negatif penggunaan vape semakin jelas kelihatan, terutamanya melibatkan golongan muda di sekolah.

Menurutnya, berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sehingga 30 September 2024, sebanyak 41 kes penyakit berkaitan penggunaan rokok elektronik atau produk vape (EVALI) telah dilaporkan di negara ini, dengan anggaran kos rawatan sebanyak RM150,892.11 bagi setiap pesakit.

“Jika langkah pencegahan tidak diambil, beban kos rawatan dijangka melonjak ke paras RM368 juta setahun menjelang 2030.

“Terkini, beberapa hospital kerajaan melaporkan peningkatan kes remaja yang mengalami komplikasi serius seperti halusinasi dan kebocoran paru-paru akibat penggunaan vape yang tidak terkawal.

“Apakah kita mahu terus membiarkan ‘racun’ ini berlegar di tangan generasi muda kita?” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau menegaskan bahawa sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, pihaknya berkewajipan untuk memelihara nyawa, akal, dan keturunan, selaras dengan tuntutan Maqasid al-Syariah.

Dalam pada itu, kerajaan turut menyediakan alternatif di Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) bagi pengusaha vape yang terjejas.

“Saya menyeru seluruh lapisan masyarakat khususnya ibu bapa, pendidik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan semua pihak berautoriti untuk bersama-sama mendukung usaha ini,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan kerajaan Terengganu akan menguatkuasakan larangan penjualan produk vape di semua premis seluruh negeri bermula 1 Ogos depan.