Ustaz Azhar Idrus sudah menjadi ikon di dalam masyarakat kerana boleh menjawab sebarang persoalan agama yang dilontarkan dengan gaya yang lebih mudah difahami dan santai.

Tidak hanya up to date dengan isu semasa, nama mesra disapa UAI ini menjadi perhatian sekali lagi apabila tular sebuah video memperlihatkan beliau berbual berkaitan pesawat perang dengan begitu teliti di dalam satu temu bual.

Menerusi video tersebut, dapat diketahui beliau sangat meminati bidang ketenteraan tanpa disedari ramai.

Sumber Gambar: wikipedia

“Sejarah dibuat tahun 1967, penggunaan secara meluas tahun 1968 di perang Vietnam. Kapal ini daripada syarikat Boeing, sayapnya 40 meter (m) 126 kaki panjang badan 30m 90 kaki lebih dan kelajuannya 482 kilometer/sejam (km/j).

“Dulu-dulu kita dengar Hercules tu C130, tapi dimajukan jadi AC130 sampai AAC, 130A, ada J, ada H, U, W.

“Yang hebat ini dalam filem Olympus Has Fallen yang kapal itu terbang ke tempat orang dalam bandar, kapal terbang ada mesingan. Masuk bandar Washington (dalam filem) tembak orang ramai,” katanya menerusi video yang dimuat naik di platform X.

UAI turut menerangkan pesawat tempur lain yang turut digunakan menerusi salah satu filem lakonan Arnold Schwarzenegger.

“Dia letak mesingan macam Arnold Schwarzenegger pakai, yang itu kalau kena, ‘tubik’ (keluar) perut orang. Ganas kapal terbang tu. Kapal terbang yang bahaya, nampak pakai kipas saja.

“Banyak ‘mengaut’ korban ketika di Afghanistan dulu, terbang macam biasa rendah, habis rumah rakyat,” ulasnya.

Sementara itu, Ustaz Azhar memberitahu dia turut pernah melanggan majalah ketenteraan pada suatu ketika dahulu.

“Dulu suka baca majalah, keluar setiap bulan. Ada perincian spesifikasi senjata baharu. Dulu suka langgan dan baca,” kongsinya lagi.

Perkongsian video tersebut telah tersebar ke pelbagai media sosial dan ramai netizen yang meluahkan rasa kagum dengan ilmu ketenteraan yang dimiliki oleh UAI dan tidak terhad kepada agama sahaja.