Negeri Sembilan menerima lonjakan besar dalam sektor digital apabila Google memperuntukkan pelaburan AS$160 juta (kira-kira RM650 juta) bagi membina infrastruktur air berkongsi.

Projek ini bukan sahaja menyokong operasi kampus pusat data baharunya di Springhill Industrial Park, Port Dickson, malah dirangka khusus untuk memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat setempat.

Air Bersih Dan Tebatan Banjir Untuk Komuniti

Menerusi kerjasama bersama Kerajaan Negeri Sembilan dan Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS), projek yang dibina oleh Gamuda Bhd ini merangkumi pembinaan loji rawatan air moden dan kolam takungan simpanan air luar sungai di sepanjang Sungai Linggi menurut laporan Berita Harian.

Setelah siap kelak, kemudahan ini akan dimiliki sepenuhnya oleh badan berkanun negeri, Menteri Besar Negeri Sembilan (Pemerbadanan) atau MBINS.

Loji tersebut berupaya membekalkan sehingga 65 juta liter air terawat sehari untuk kegunaan harian penduduk dan operasi pusat data. Selain membekalkan air bersih, kolam takungan berkenaan turut bertindak menakung lebihan air hujan bagi mengurangkan risiko banjir, di samping menjadi sumber bekalan air sokongan sekiranya paras sungai menyusut pada musim kering.

Komitmen Kelestarian Dan Kos Tenaga Penuh

Google turut mengesahkan syarikatnya akan menanggung 100 peratus kos penggunaan elektrik pusat data serta kos langsung penyambungan ke grid elektrik tempatan.

Langkah membiayai infrastruktur air ini juga selaras dengan matlamat alam sekitar mereka, seperti yang dijelaskan oleh Pengarah dan Ketua Infrastruktur Global serta Tenaga Asia Pasifik Google, Drew Byrnes:

“Keputusan membiayai infrastruktur air berkongsi di Negeri Sembilan mencerminkan aspirasi global Google untuk menggantikan semula 120 peratus jumlah air tawar yang kami gunakan.”

Nilai Ekonomi Dan Pemerkasaan Bakat Muda

Bagi Kerajaan Negeri, kemasukan pelaburan gergasi ini melangkaui sekadar angka modal. Ketua Pegawai Eksekutif Invest Negeri Sembilan, Datuk Najmuddin Sharif Sarimon, menegaskan bahawa kualiti pelaburan dan pulangan nilai kepada rakyat menjadi keutamaan utama negeri.

“Untuk Negeri Sembilan, menarik pelaburan bukan sekadar mengenai jumlah modal yang dilaburkan, tetapi juga kualiti pelaburan, sumbangan ekonomi jangka panjangnya dan keupayaannya mewujudkan nilai kepada rakyat,” ulas Datuk Najmuddin sambil menambah kehadiran Google berupaya menarik industri sokongan serta membuka peluang perniagaan baharu kepada syarikat tempatan.

Membuktikan komitmen menyeluruh kepada komuniti, Google turut menjalinkan kerjasama dengan SOLS Foundation menerusi dua inisiatif tenaga bersih bermula awal 2027. Program ini merangkumi penyediaan Makmal Solar di sekolah-sekolah kerajaan serta latihan kemahiran digital tenaga boleh baharu selama 36 jam yang disasarkan khas kepada anak muda daripada keluarga berpendapatan rendah dan komuniti Orang Asli.