Pada hari ini, kita boleh lihat lambakan video podcast dari influencer yang dimuat naik menerusi pelbagai platform media sosial. Namun, bukan semua boleh diambil bulat-bulat kerana ada yang mempunyai pengisian yang dikira sebagai ‘sampah’.

Menerusi akaun X, Naim Daniel selaku pelakon dan juga penyanyi terkemuka kini turut menyatakan pendiriannya bahawa bukan semua orang perlu buat podcast selepas tular satu video podcast yang mengatakan bahawa SPM tidak mempunyai nilai di dalam kehidupan.

Baca Juga:

Hantaran beliau itu ternyata menerima sokongan padu dari netizen yang mana majoritinya berpendapat podcast tidak wajar dilakukan jika hanya sembang kosong tanpa sebarang pengisian berilmu untuk menjadi tontonan awam.

“Dulu orang buat podcast untuk kongsi benda berilmiah tapi sekarang ni makin lama topik podcast makin mengarut,” luah seorang pengguna.

“Orang yang buat podcast tu kena tapis apa yang disiarkan. Ni kalau dah macam ini, serupa tak payah buat podcast,” nasihat seorang pengguna lain.

“Buat podcast tapi jemput mangkuk ayun entah dari mana. Buat masyarakat jadi bodoh,” kata seorang pengguna yang risau konten sebegini boleh mempengaruhi masyarakat.

“Persoalannya, kenapa orang-orang Malaysia suka ajak budak-budak begini masuk konti untuk ajak bersembang eh? Banyak lagi orang yang cerdik ilmu ada sumbangan dekat orang awam yang layak diangkat,” soal seorang pengguna yang tidak berpuas hati dengan pilihan panelis perbincangan.

Sesi podcast kini nampak seperti murahan pula walhal suatu ketika dahulu ia menjadi ruang individu intelektual berdiskusi dan bertukar pendapat dalam perihal akademik, ekonomi dan seumpamanya lalu dikongsikan buat pengetahuan awam.

Buat influencer di luar sana, jadilah individu yang berhemah dalam berkongsi sesuatu maklumat kerana setiap kenyataan boleh mempengaruhi pemikiran dan fahaman di dalam masyarakat.