Isu warga asing memandu tanpa lesen di negara ini nampaknya sudah memasuki fasa baharu yang lebih mengejutkan.

Jika sebelum ini mereka kerap dikaitkan dengan motosikal roda tiga, kini ada antara mereka yang dikesan selesa memandu kenderaan mewah bernilai ratusan ribu ringgit di jalan raya tempatan.

Mewah Tetapi Tanpa Lesen Dan Cukai Jalan

Menerusi Ops Luxury yang dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang dilaporkan Sinar Harian, dua buah kenderaan mewah iaitu BMW 525 dan Toyota Land Cruiser bernilai RM780,000 telah disita akibat kesalahan lalu lintas.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan menjelaskan bahawa kes pertama melibatkan seorang lelaki warga Rohingya berusia 36 tahun di Jalan Pasir Hor pada 19 September lalu.

Lelaki yang memiliki perniagaan kedai runcit itu didapati memandu BMW 525 tanpa sebarang lesen memandu.

Kereta berkenaan dibeli daripada warga tempatan, namun pertukaran hak milik tidak dapat dilakukan kerana warga Rohingya secara undang-undang tidak dibenarkan memiliki kenderaan.

Sehari selepas itu di Tunjong, JPJ menyita pula sebuah Toyota Land Cruiser bernilai kira-kira RM780,000 yang dipandu lelaki warga Bangladesh berusia 51 tahun berstatus Pemastautin Tetap.

Tindakan itu diambil kerana Lesen Kenderaan Motor (LKM) telah tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans.

“Dua kes ini pemandu dan pemilik tidak boleh membayar kompaun dan akan dibawa ke mahkamah,” kata Muhammad Kifli.

Sikap Segelintir Rakyat Tempatan Yang Bersekongkol

Selain isu kenderaan mewah, JPJ turut membongkar sikap segelintir rakyat Malaysia yang sanggup bersekongkol demi keuntungan ringgit menerusi Operasi Pemandu Warga Asing (Pewa).

Hasil risikan mendapati ada pemilik tempatan menyewakan motosikal kepada warga asing, khususnya Rohingya, dengan kadar RM50 hingga RM200 sebulan mengikut keadaan kenderaan. Malah, ada juga majikan tempatan yang menggajikan pemandu warga asing untuk kenderaan perdagangan.

“Kalau rakyat Malaysia tidak menyewakan atau menggaji warga asing termasuk Rohingya ini, mereka tidak akan berada di atas jalan raya,” tegas beliau lagi.

Ratusan Ribu Saman Dikeluarkan JPJ

Bagi tempoh dua setengah tahun bermula 1 Januari 2024 hingga 15 September lalu, JPJ telah mengeluarkan sebanyak 481,119 saman terhadap pemandu warga asing.

Kesalahan paling tinggi dicatatkan ialah tiada lesen memandu kompeten (CDL) iaitu sebanyak 121,832 saman, diikuti LKM tamat tempoh sebanyak 50,469 saman, dan tiada insurans sebanyak 43,299 saman. Selebihnya iaitu 252,560 saman melibatkan pelbagai kesalahan lain.

JPJ turut mendedahkan bahawa warga Rohingya merupakan kumpulan paling ramai dikesan menunggang motosikal, terutamanya jenis roda tiga bagi aktiviti mengutip besi buruk, diikuti oleh warga Bangladesh, Indonesia, India, dan Pakistan.