Kini, berkomunikasi dengan pemimpin negara bukan lagi satu perkara yang mustahil atau terhad kepada majlis rasmi sahaja.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, secara rasminya telah memperkenalkan PMX AI, sebuah kembar digital atau avatar kecerdasan buatan miliknya yang boleh diakses secara terus oleh rakyat melalui aplikasi WhatsApp.
Melalui platform ini, sesiapa sahaja boleh mengajukan soalan, berkongsi pandangan, malah meluahkan kebimbangan serta aspirasi mereka secara terus.
Projek inovatif ini dibangunkan oleh Zetrix AI menerusi platform Avatar.inc, dan merupakan salah satu inisiatif terbaharu daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Menariknya, PMX AI bukan sekadar bot sembang biasa ia telah dilatih secara khusus menggunakan himpunan tulisan, ucapan rasmi, serta rekod dasar-dasar kerajaan yang dilaksanakan sepanjang pentadbiran PM Anwar Ibrahim.
Sistem AI ini juga akan sentiasa dikemas kini dengan data dan kenyataan terbaharu dari semasa ke semasa bagi memastikan respons yang diberikan sentiasa tepat dan relevan.

Langkah digital ini mencerminkan usaha serius dalam memodenkan tadbir urus negara, di samping merapatkan jurang antara pihak kerajaan dan masyarakat agar ia lebih mudah diakses oleh semua lapisan rakyat.
Menariknya, sebaik boleh diakses umum, warganet langsung mencuba sendiri melihat sejauh mana ia mampu berkomunikasi di dalam dunia sebenar.
Selepas menggunakannya, majoriti pengguna memberikan reaksi yang positif, teruja dan mendapati pengalaman penggunaan yang agak baik.

Selain bertanyakan soalan tentang politik mahupun ekonomi negara, ada juga menjadikan tempat luahan perasaan dan mengadu nasib kepada kembar digital PM kita.
Sebahagian pengguna merasakan kehadiran kembar digital PMX ini dapat merapatkan jurang perhubungan pemerintah dengan rakyat secara terus di samping didakwa terasa sembang di dalam dunia sebenar.

Respon kembar digital ini pula dilihat agak baik dan menjawab persoalan dengan rasional dengan nada seakan PMX sendiri. Mungkin ada sedikit soalan yang mungkin masih sukar ditafsir maka jawapan yang diberikan tidak relevan atau berkaitan.