Sebuah zoo di Jepun telah melaksanakan larangan masuk bagi lelaki yang datang bersendirian, lapor South China Morning Post.

Larangan itu dibuat bagi mengelakkan lelaki bujang mengacau pengunjung wanita dan pemilik zoo berkenaan.

Baca Juga:

Pada 26 Januari, pengarah zoo yang dikenali dalam talian sebagai Misa Mama mengumumkan larangan tersebut di media sosialnya.

Dia menyatakan: “Berkuatkuasa serta-merta, pengunjung lelaki dilarang memasuki zoo secara bersendirian.”

Notis di pintu masuk mengulangi polisi tersebut, menyatakan bahawa lelaki yang datang bersendirian mesti ditemani oleh ahli keluarga atau rakan.

Misa Mama menjelaskan bahawa sejak penubuhan zoo itu, majoriti pengunjung terdiri daripada keluarga atau pasangan.

Namun, terdapat beberapa lelaki yang datang sendirian dan cuba mendekati serta memulakan perbualan dengan dia dan pengunjung wanita.

Dia menyatakan individu-individu terbabit menunjukkan tingkah laku menggoda atau mengeluarkan komen yang tidak sesuai.

Sebagai pengarah zoo, Misa Mama mengakui kesukaran untuk menolak secara terbuka atau menghalau pengunjung, kerana sering merasa terpaksa tersenyum dan memberi respons dengan sopan.

Dia menegaskan bahawa Healing Pavilion diwujudkan untuk pemulihan emosi dan bukannya tempat untuk mencari jodoh, beliau mempertahankan polisinya.

“Peraturan ini bukan kerana keangkuhan atau salah faham terhadap lelaki.

“Terlalu ramai yang datang dengan niat tidak baik, menyebabkan saya mengalami tekanan yang besar. Saya rasa seolah-olah hati saya terluka,” kata Misa Mama.

Dia menegaskan bahawa dia tidak mempunyai diskriminasi terhadap lelaki.

Namun dia sedar akan cabaran mengendalikan zoo secara sendirian dan berharap agar orang ramai dapat memahami situasi tersebut.