Sabtu lalu, Kejohanan Merentas Desa MSSD Semporna jadi medan panas — bukan kerana cuaca, tapi kerana keputusan yang mengejutkan ramai pihak.
Seorang atlet muda Semporna yang bertungkus-lumus berlatih hampir setiap hari, digugurkan kemenangannya sebagai naib johan atas tuduhan menaiki kenderaan tanpa sebarang bukti konkrit.
Pingat naib johan yang diperoleh atlet tersebut dirampas dan difahamkan keputusan itu dibuat secara tiba-tiba dan tidak ikut prosedur seperti yang digariskan dalam buku peraturan kejohanan.
Tidak Diberi Peluang Bela Diri
Menurut jurulatihnya, tiada pembelaan diberikan, malah atlet dan pihak sekolah langsung tidak dipanggil untuk beri keterangan.
Sedangkan semua pihak berhak untuk membela diri sebelum sebarang tindakan diambil.
Jurulatih turut mempersoalkan keputusan pengadil — yang juga merupakan guru dari sekolah penganjur — tentang kewajaran rampasan pingat tanpa bukti bergambar atau video.
Bukti hanya berdasarkan dakwaan tiga peserta lain, bagaimana jika mereka bersubahat?
Lebih menyedihkan, atlet tersebut lengkap dengan data dari jam Garmin yang merakamkan segala aktiviti larian – dari jarak, masa, degupan jantung hingga peta laluan.
Semua itu dapat membuktikan bahawa tiada unsur penipuan.
Tapi pihak pengadil enggan menerima bukti tersebut, malah seperti ego untuk mengaku kesilapan.
Selepas Ugut Nak Report, Baru Pengurusan Akur
Setelah didesak dengan tegas oleh jurulatih, akhirnya pihak pengurusan akur dan kembalikan pingat — tetapi dengan syarat pelik: kedudukan tempat kedua perlu dikongsi dengan peserta tempat ketiga.
Apa logiknya? Malah, mereka cadangkan atlet itu perlu lari semula secara solo sejauh 9.2km berbukit-bukit untuk “membuktikan” kemampuannya.
Bayangkan tekanan mental budak bawah 15 tahun ini.
Jurulatih meluahkan kekecewaan dengan sistem pengurusan sukan daerah Semporna yang katanya penuh salah guna kuasa dan diskriminasi.
Bukan kes ini sahaja — pingat hilang, habuan kemenangan yang tak diberi sejak tahun lalu, dan janji yang tinggal janji. Sedih bila semangat dan peluh atlet muda seolah-olah tak dihargai.
Apa yang paling menyayat hati, atlet ini telah berlatih 10 sesi seminggu selama setahun, jarak bulanan hingga 250km, menang pelbagai kejohanan luar — tapi masih dituduh menipu di depan khalayak.