Satu pasangan suami isteri didakwa di Mahkamah Majistret Ampang hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki yang juga pelayan restoran, bulan lalu.

Tertuduh, Khor Swee Boon, 33, dan isterinya, Ng Hui Yee, 30, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Normaizan Rahim lapor Harian Metro.

HYPE
Wayout Solution Cipta Sejarah Rangkul Anugerah Company Of The Year
Baca lagi →

Baca Juga:

Mengikut pertuduhan, pasangan itu didakwa bersama menyebabkan kematian Cho Lim Fong, 29 dan mereka didakwa melakukan perbuatan tersebut pada jam 8.55 malam di hadapan sebuah restoran dekat Jalan Pandan Indah 1/22, Pandan Indah, 29 Disember lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Ameera Sam Kamaruddin dan kedua-dua tertuduh diwakili peguam bela, RSN Rayer.

Ketika prosiding, Rayer memohon mahkamah mempertimbangkan untuk membenarkan Hui Yee diikat jamin dengan alasan anak guamnya itu seorang ibu kepada dua anak berumur lima dan tujuh tahun yang kini tinggal bersama ibu bapanya.

Permohonan itu dibuat dengan merujuk Seksyen 388 Kanun Tatacara Jenayah yang membenarkan tertuduh diikat jamin atas budi bicara mahkamah.

Rayer juga akur dengan sebarang syarat termasuk jika mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin.

Pihak pendakwaan membantah sekeras-kerasnya dengan alasan percaya Seksyen 388 Kanun Tatacara Jenayah adalah mengikut budi bicara dan bukan mandatori serta tiada keadaan khas untuk mahkamah membenarkan jaminan kepada Hui Yee.

Normaizan menolak permohonan Rayer dan menetapkan 23 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta serahan dokumen.

29 Disember lalu, pelayan di sebuah restoran maut selepas bungkusan yang diletakkan di atas kereta meletup. Mangsa parah pada badan dan tangan kemudian dikejarkan ke Hospital Ampang di sini, untuk rawatan namun disahkan meninggal dunia pada 9.45 malam.

Hasil siasatan di lokasi kejadian, polis menemukan beberapa objek dan kesan letupan antaranya kesan lekukan pada kereta mangsa. Dua suspek disyaki terbabit ditahan di Serdang, Kedah pada 3 Januari lalu.

Sumber