Bekas pemain badminton Indonesia Taufik Hidayat sebelum ini telah mempersoal kedudukan Lee Chong Wei yang dimasukkan ke dalam Hall Of Fame oleh Persekutuan Badminton Dunia.
Kenyataan oleh Taufik itu kurang disenangi oleh peminat badminton Malaysia. Manakala Lee Chong Wei pula merasa seolah diserang olehnya dan mengarahkan Taufik untuk bertanya sendiri kepada BWF.
Baca Juga:
Dalam satu kenyataan di Facebook yang dikeluarkan oleh BWF, badan pengelola badminton dunia itu berkata bahawa Lin Dan dan Lee Chong Wei adalah individu yang layak untuk menerima pengiktirafan tersebut.
“Atas syor daripada Suruhanjaya Anugerah BWF, Majlis mengesahkan pencalonan Lin Dan dan Lee Chong Wei untuk Dewan Kemasyhuran mengikut kriteria pemilihan yang digariskan dalam peraturan anugerah,” kata setiausaha agung BWF Thomas Lund hari ini.
“Kedua-duanya adalah penerima anugerah yang layak atas sumbangan cemerlang mereka dalam sukan badminton di luar batas gelanggang dalam tempoh masa yang ketara.”
Tambahnya lagi, BWF mengiktiraf pencapaian dan sumbangan ramai legenda sukan dan berharap untuk melantik lebih banyak juara ke dalam Hall of Fame BWF pada tahun-tahun akan datang.
Untuk rekod, Lin Dan dan Lee Chong Wei kedua-duanya telah dimasukkan ke dalam Hall of Fame pada 26 Mei.
Walaupun tidak memenangi sebarang pingat emas Olimpik, Lee Chong Wei adalah pemain nombor satu dunia selama 349 minggu, dan memenangi tiga pingat Olimpik perak, di Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016, lapor BERNAMA.